Wednesday, 27 February 2019




KUALA LUMPUR 26 Feb. - Keuntungan bersih Te­le­kom Malaysia Berhad (TM) bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Disember 2018 menyusut sebanyak 83.52 peratus kepada RM153.154 juta berbanding RM929.749 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Perolehan juga susut 2.2 peratus kepada RM11.82 bilion dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM12.08 bilion pada 2017.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar, pertumbuhan hasil internet pada tahun yang di­tinjau dibalas timbal oleh servis data, suara dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih rendah.

Katanya, penurunan ini juga disebabkan oleh kemerosotan prestasi aset rangkaian yang diiktiraf oleh kumpulan dalam suku ketiga 2018 yang membawa kepada penurunan 65.9 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM375.5 juta berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan pada tahun kewa­ngan sebelumnya.
Paling mencabar
“Tahun 2018 sememangnya antara tempoh paling mencabar yang pernah dihadapi TM. Kami berusaha keras untuk menghadapi landskap yang kompetitif dan industri yang dinamik tanpa hilang fokus terhadap strategi dan misi organi­sasi.
“Kami akan meneruskan fasa transformasi berikutnya menerusi Program Peningkatan Prestasi (PIP2019-2021) bagi memastikan daya tahan dan kelestarian jangka panjang ke arah membentuk ‘TM Baharu’,” katanya dalam sidang akhbar prestasi TM di sini hari ini.
Dalam tempoh berkenaan, kumpulan merekodkan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM64.6 juta.
Kumpulan juga telah mengenal pasti peruntukan berjumlah RM982.5 juta bagi susut nilai aset-aset rangkaian tanpa wayar dan tetap susulan tekanan berterusan dalam perniagaan, industri dan ekonomi.
Bagi suku keempat 2018 pula, keuntungan bersih TM susut 74.9 peratus kepada RM69.66 juta berbanding RM277.01 juta bagi tempoh sama 2017.
Keuntungan yang lebih rendah ini turut didorong oleh kos kewangan yang tinggi, keuntungan pertukaran mata wang asing lebih rendah terhadap pinjaman syarikat serta caj cukai.
Jelas Imri, EBIT dinormalisasi kumpulan berjumlah RM1.07 bilion iaitu dalam lingkungan panduan 2018 dengan inisiatif dalam Program Peningkatan Prestasi 2018 (PIP2018) seperti pengoptimuman kos memberikan prestasi operasi yang lebih baik walaupun hasil lebih rendah.
Peratusan 
 perolehan susut
Mengenai perancangan 2019, Imri berkata, perbelanjaan modal (capex) adalah sama seperti 2018 iaitu antara 19 hingga 20 peratus daripada perolehan.
“Peratusan perolehan di­jang­ka susut satu digit sementara EBIT diunjurkan lebih tinggi berbanding 2018 menerusi pengurusan dan kos yang optimum. Kami percaya TM harus bergerak ke hadapan melangkaui kesalinghubungan untuk terus berdaya tahan.
“Ia tidak berkisar kepada kesalinghubungan data sahaja tetapi menjadi penyelesaian digital dan bergerak ke arah­nya. TM akan memacu konvergens dan memperkasakan digital selari dengan transformasi ke arah berorientasikan pelanggan,” ujarnya.
TM mengumumkan dividen interim tunai sebanyak dua sen sesaham atau RM75.1 juta dan pembayaran dijangka dibuat pada 12 April depan.

Sumber: Utusan

[VIDEO] Pasukan Caklempong Asis sambut tetamu HSKU


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Perkarangan Dewan Utusan meriah dengan persembahan caklempong dari murid-murid Sekolah Menengah Sains Alam Shah (Asis), Cheras, sempena Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) hari ini.
Dibarisi 13 orang pelajar Tingkatan 3, kumpulan itu memainkan aneka lagu dari lagu klasik Melayu seperti Ulik Mayang ke lagu bergenre hip hop Inggeris seperti Pump It nyanyian asal Kumpulan Black Eyed Peas.
Menurut guru pengiringnya, Siti Soraya Ramli, pasukan yang sama sudah mempunyai banyak pengalaman bertanding termasuk di peringkat antarabangsa.
"Tahun lepas, mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan peringkat antarabangsa, Artistreet yang diadakan di Kuala Lumpur walaupun memasuki pertandingan tersebut sebagai pasukan termuda," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis Penyampaian HSKU akan dirasmikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 penggiat sastera dari segenap pelusuk negara. - UTUSAN ONLINE

Monday, 25 February 2019

Persona terima sentuhan X70







KUALA LUMPUR 25 Feb. - Proton Holdings Berhad (Proton) mengeluarkan gambar rasmi kereta sedan keluarga segmen B, Persona yang dipertingkat, menerima pelbagai peningkatan pada wajah luaran dengan memasukkan beberapa elemen daripada model kenderaan utiliti sukan (SUV), X70.
Persona merupakan model pertama yang menerima sentuhan baharu sejak Proton memulakan kerjasama dengan Geely pada 2017. Model berkenaan akan dilancarkan pada tahun ini bersama dengan Iriz, namun butiran lanjut seperti tarikh belum diketahui.
Garisan luaran baharu menggambarkan imej sambungan pintar ditambah beberapa elemen estetika dan kemas kini yang membezakan Persona yang dipertingkat dengan model terdahulu. Jentera itu juga membawa elemen keluarga Proton yang baharu termasuk rekaan gril hadapan baharu ‘Ethereal Bow’ sama seperti pada X70.
Lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) baharu yang dipasang pada perumah berbentuk sarang lebah ditambah dengan rekaan bentuk bampar baharu membuatkan Persona yang dipertingkat kelihatan elegan.
Bahagian belakang tidak lagi menampilkan logo Proton tetapi sebaliknya dieja menggunakan perkataan ‘Proton’ dengan jarak yang agak besar di antara setiap huruf. Bampar belakang baharu yang lebih rendah menyerlahkan identiti visual sementara spoiler memberikan rasa sporty.
Lencana Persona juga diubah seiring dengan penambahbaikan dan gaya yang diterima. Persona yang dipertingkat didatangkan dengan rim aluminium 15 inci serta antena berbentuk shark fin. - UTUSAN ONLINE

OCBC Al-Amin pengedar Supreme-i



KUALA LUMPUR 25 Feb. – OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) dilantik sebagai pengedar eksklusif pelan takaful universal pertama di negara ini yang menawarkan pembayaran tunai terjamin tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Shahrul Azlan Shahriman berkata, Supreme-i membolehkan pemegang sijil me­nerima pendapatan berkala lebih tinggi di pasaran yang dikuasai perlindungan tinggi dan pelan berasaskan perlindungan.
Menurut beliau, mereka diberi pilihan untuk membuat pembayaran sumbangan selama lima atau tujuh tahun dan menikmati perlindungan ­taka­ful selama 13 tahun.
“Supreme-i ialah penyelesaian kewangan terbaik bagi mereka yang mahukan pembayaran tunai terjamin kerana menawarkan pilihan kepada pelanggan untuk me­ngumpulkan pulangan atau me­nerima bayaran tunai secara berkala setiap tahun. Tahap fleksibiliti yang ditawarkan Supreme-i membo­lehkan pelanggan merancang mengikut keperluan gaya hidup dan kewangan masing-masing.
“Mereka boleh menerima 15 peratus hingga 20 peratus daripada sumbangan tahunan yang dibayar pada akhir setiap tahun sijil. Perkara unik tentang Supreme-i ialah walaupun merupakan pelan perlindungan takaful, tetapi taja jamin perubatan tidak diperlukan,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia

CIMB Islamic, SimplySiti perluas segmen kecantikan halal









KUALA LUMPUR 25 Feb. - CIMB Islamic Bank Bhd. bekerjasama dengan SimplySiti Sdn. Bhd. bagi membolehkan jenama kecantikan dan penjagaan kulit halal berkenaan berkembang ke pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB Group, Rafe Haneef berkata, CIMB Islamic memainkan peranan sebagai pemberi kemudahan pembiayaan kepada SimplySiti.
Katanya, jenama tempatan itu juga akan menerima sokongan daripada Koridor Halal CIMB-ASEAN dan rangkaian serantau kumpulan yang kukuh.
“Menerusi kerjasama ini, kami teruja untuk memudahkan langkah SimplySiti mencapai pertumbuhan dengan mengambil peluang di dalam perniagaan halal di ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama di antara CIMB Islamic dan SimplySiti di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Pengasas SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. - UTUSAN ONLINE

Sunday, 24 February 2019

Harta pusaka dimanipulasi



Dalam kesibukan kita be­kerja dan melalui kehidupan berkeluarga, kadang-kadang kita terlupa ibu bapa kita juga perlu diberi perhatian terutama bila seorang daripadanya meninggal dunia. Sebagai anak, kita jarang memikirkan betapa sunyinya kehidupan ibu atau bapa kita yang tinggal berseorangan.
Realistiknya, sebagai anak yang bekerjaya, berapa banyak sangatlah masa yang mampu kita luangkan bersama mereka. Lebih teruk lagi jika kita tinggal di bandar manakala ayah atau ibu ratusan kilometer jauhnya di kampung. Mungkin kita hanya sempat menjengah mereka dua atau tiga kali sahaja dalam setahun.
Saya nak kongsi kisah Badli, sebagaimana yang diceritakan oleh jirannya kepada saya. Badli adalah seorang pesara yang kesunyian sejak isterinya Aishah meninggal dunia. Anak-anaknya, Safiah dan Suhaimi telah berkeluarga, bekerjaya dan menetap di rumah masing-masing di Kuala Lumpur manakala Badli pula di utara Semenanjung.
Kahwin baharu
Hanya pada waktu cuti sekolah panjang atau cuti umum anak-anaknya pulang ke kampung. Ketika itulah baru Badli rasa gembira dan terhibur dengan gelak ketawa anak dan cucu. Pada kebanyakan waktu, dia berseorangan di rumah dan merasa sangat sunyi.
Walaupun sudah bersara, dia masih sihat dan untuk mengisi kesunyian, masanya diisi de­ngan menghadiri kuliah dan pengajian agama di masjid. Untuk makan minum pula, Zulkif­li kerap mengunjungi warung yang berdekatan rumahnya.
Di warung itu, ada seorang pembantu kedai warganegara asing bernama Rini yang berumur awal 30-an. Badli meluangkan banyak masa di warung baik waktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
Dia merasa seronok dan terhibur kerana Rini sangat mesra dengannya. Rinilah tempat dia selalu berceritakan kesunyian­nya. Masakan Rini pun sedap dan kena dengan selera Badli.
Selepas kerap diusik rakan-rakannya, Badli akhirnya mengambil keputusan menikahi Rini. Apabila hasratnya disampaikan kepada anak-anak, mereka menentang kerana bimbang ayah mereka akan dimanipulasi oleh Rini. Safiah dan Suhaimi juga mendakwa ayah mereka telah terkena sihir pe­ngasih. Badli berkeras dan pada majlis pernikahannya, tiada seorang pun anaknya hadir.
Selepas bernikah, Badli merasakan hidupnya sempurna dan bahagia walaupun anak-anaknya tidak lagi balik ke kampung menjengok atau menelefonnya. Makan minumnya kini terjaga dan dia sudah ada teman untuk bercerita. Dia tidak kesunyian lagi. Badli rasa seperti muda kembali.
Pujukan isteri muda
Rini pula selalu memenu­hi segala keperluan Badli dan mereka kerap melancong ke luar negara. Kerana faktor umur dan bimbang dengan reaksi anak-anak tirinya, Rini selalu memujuk Badli agar membela nasibnya dengan memindah milik beberapa hartanah kepadanya. Dia juga selalu meminta Badli memin­dahkan sejumlah wang ke dalam akaunnya sebagai persediaan jika berlaku apa-apa ke atas Badli.
Selepas kematian Badli, Safiah dan Suhaimi mengambil inisiatif menguruskan harta pusakanya. Mereka menyesal kerana tidak melayan bapa mereka dengan baik dan mulai menerima hakikat Rini sebagai ibu tiri mereka. Namun, Safiah dan Suhaimi terperanjat bila mendapati ke­semua harta ayah mereka telah dipindah milik kepada Rini.
Segala simpanan arwah juga telah hampir habis dipercayai dipindah milik juga kepada akaun Rini. Badli tidak meninggalkan sebarang harta pusaka untuk diagih kepada Safiah dan Suhaimi kerana hampir semuanya telah dipindah milik kepada Rini!
Apabila mereka cuba mendapatkan penjelasan, mereka dihalau kerana menurut Rini rumah bapa mereka itu sudah menjadi milik sahnya sambil menunjukkan geran tanah. Rini juga sudah membawa keluarganya dari seberang untuk tinggal bersama­nya di rumah tersebut.
Siapa yang rugi?
Dari segi hukum faraid, waris yang berhak ke atas harta pusaka Badli ialah Rini iaitu 3/24 bahagian manakala Safiah (7/24) dan Suhaimi (14/24) mendapat bakinya. Tetapi kerana semua harta sudah dipindah milik kepada Rini, maknanya tiada harta pusaka yang akan difaraidkan.
Kisah ini wajar dijadikan iktibar kepada kita sebagai anak-anak. Jika ibu atau bapa telah meninggal dunia, anak-anak perlu berkorban meluangkan lebih banyak masa bersama ibu atau bapa yang masih hidup. Kegagalan anak-anak mengisi kesunyian dan kekosongan akan menyebabkan terdapat kebarangkalian ibu atau bapa kita dimanipulasi.
Tiada apa yang boleh dibuat sekiranya pindah milik harta dan wang dilakukan ketika hidup. Tiada sebarang tuntutan boleh dibuat. Safiah dan Suhaimi menyesal tak sudah. Dalam keadaan ini, cuba tanya diri kita sendiri, harta yang ditinggalkan jadi pusaka ke puaka?
Ariffin Sabirin adalah pe­ngasas Wasiyyah Shoppe Berhad

Sumber: Utusan Malaysia 25 Feb 2019



KFC Malaysia memperkenalkan hidangan masa terhad terbaharunya iaitu KFC Ghost Pepper yang diilhamkan daripada rasa Ghost Pepper atau turut dikenali sebagai ‘bhut jolokia’ iaitu salah satu cili terpedas di dunia.
Ketua Pegawai Operasi KFC Malaysia, Ling Mee Jiuan berkata, hidangan ini wajib dicuba oleh penggemar makanan terutamanya hidangan pedas.
“Ia unik dan memberi kenikmatan rasa pedas berbeza dan kami juga berbangga kerana menjadi antara yang pertama di pasaran memperkenalkan Ghost Pepper ini dalam menu kami,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menu yang dicipta bagi memberi debaran kepedasan melalui setiap gigitan ini boleh dinikmati melalui KFC Ghost Pepper Zinger Burger dan Twister terbaharu.
Dihidangkan secara istimewa dalam ban burger dan tortilla merah, ayam KFC Zinger akan disapu dengan sos Ghost Pepper dan mayonis serta dihiasi hirisan timun jepun, tomato serta nacho BBQ ranggup
KFC Ghost Pepper Zinger burger dan Twister boleh didapati secara à la carte bermula dari RM10.90 (Zinger burger) dan RM8.90 (Twister).
Untuk hidangan lengkap, pelanggan boleh memilih kombo KFC Ghost Pepper bersama hidangan sampingan seperti kentang goreng dan minuman ringan Mirinda Strawberry manakala hidangan box didatangkan dengan tambahan seketul ayam.
KFC Ghost Pepper boleh didapati di semua restoran KFC seluruh negara bermula 21 Februari 2019, sementara stok masih ada.

Sumber: Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 3:29 PM

Saturday, 23 February 2019

Udang kara berpotensi pulang modal dalam 2 bulan

Udang kara berpotensi pulang modal dalam 2 bulan: KUALA LUMPUR – Jeram Lobster Aggrotech menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang penternakan udang kara dengan modal serendah RM1,500.

Pengguna kecewa telefon pintar mahal

BARCELONA 22 Feb. - Orang ramai kini sema­kin lama menggunakan telefon pintar sedia ada yang dimilikinya kerana kecewa peranti mudah alih itu tidak banyak berubah dan harga pula terus meningkat.



Penganalisis Penyelidikan IDC, Ryan Reith berkata, jualan telefon pintar global jatuh 4.1 peratus pada 2018 kepada 1.4 bilion berikutan kelembapan ekonomi di China yang menyum­bang kira-kira satu pertiga daripada penggunaan telefon di dunia Katanya, antara punca lain adalah kekurangan inovasi utama yang menggalakkan orang ramai untuk menaik taraf peranti mereka.
“Jualan jatuh sebanyak 0.5 peratus pada 2017 dan merupakan penurunan tahunan yang pertama.
“Kini, pengeluar telefon pintar berlumba-lumba mem­per­kenalkan ciri-ciri baharu un­tuk menarik pelanggan se­perti tele­fon pintar foldable iaitu boleh lentur atau dilipat,” katanya di sini hari ini.
Pembuat telefon akan memberi tumpuan kepada skrin yang boleh dilipat dan pengenalan rangkaian generasi kelima (5G) yang pantas di pameran mudah alih terbesar di dunia bermula 25 Februari di Sepanyol bagi mengatasi penurunan dalam jualan te­lefon pintar.
MWC Barcelona sebelum ini dikenali sebagai Mobile World Congress atau Kongres Dunia Mudah Alih akan diadakan di Barcelona bermula 25 sehingga 28 Februari 2019.
Huawei antaranya akan menjadi tumpuan pada empat hari MWC di Barcelona sebagai telekomunikasi gergasi China yang melawan usaha Amerika Syarikat kerana memujuk sekutu-sekutunya untuk memboikot teknologi 5G mereka kerana bimbang diintip.
Syarikat itu merupakan pengeluar terkemuka bagi peralatan untuk rangkaian selular 5G yang kini sedang mula dipasang.
Teknologi 5G akan menghubungkan telefon pintar dan peranti daripada kereta sehinggalah ke robot.
Samsung yang mempamerkan peranti baharu di acara Unpacked di San Francisco iaitu Samsung Gala­xy Fold, menjadi pengeluar pertama menawarkan ciri yang dinanti-nantikan itu.
Xiaomi dan beberapa syarikat lain dijangka mengikuti jejak langkah Samsung dan memperkenalkan telefon pintar boleh dilipat di Barcelona walaupun tidak jelas sama ada ia akan menjadi prototaip atau peranti boleh didapati secara komersial seperti Samsung. – AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/pengguna-kecewa-telefon-pintar-mahal-1.846728#ixzz5gNB9qgMm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, 22 February 2019

SHAH ALAM - The Great Community Centre (TGC Centre) menyasarkan untuk melatih 1,000 wanita yang terlibat dalam perniagaan berasaskan coklat menjelang tahun 2020.

Pengasas TGC Centre, Nasy­rah Zainuddin berkata, buat masa ini, pusat tersebut memiliki kira-kira 600 ejen di seluruh negara.

Menurut beliau, pertambahan bilangan usahawan itu bakal dicapai memandangkan permintaan daripada pelanggan yang menggalakkan kerana produk berasaskan coklat memang digemari masyarakat.
“Kami juga menawarkan pelan perniagaan yang mudah dilaksanakan oleh usahawan baharu dan lebih menarik, usahawan akan dilatih menggunakan teknik pemasaran kos sifar.
“Teknik ini menekankan kepada perniagaan online seperti Facebook, Twitter dan Instagram pengguna sendiri dengan pendekatan empat waktu hantaran iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas pelancaran TGC Centre di Seksyen 14 di sini baru-baru ini.
Menurut Nasyrah, TGC Centre mula dibuka sejak Januari lalu dengan pelaburan kira-kira RM50,000.
Tambah beliau, berdasarkan rekod setiap ejen dan usahawan yang dilatih sebelum ini, mereka mampu meraih pendapatan secara purata antara RM3,000 hingga 30,000 sebulan.
“Mereka hanya perlu menjadi ejen dengan bayaran antara RM350 hingga RM450 dengan produk yang dipasarkan meliputi Chocodaps, Magic Brow­nies dan Surprise Planner,” katanya.
Orang ramai yang berminat menceburi bidang perniagaan itu boleh menghubungi TGC Centre di talian 018-253 4966.
Sumber: Kosmo Online

EW Catering melangkah dari kilang tiga tingkat ke I-City Convention Centre





KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pernah terjadi kepada pasangan pengantin baharu ditipu oleh pihak pengurusan majlis perkahwinan dan katering selepas dibayar ribuan ringgit.
Kejadian seperti itu menyebabkan mereka yang terkena bukan sahaja menanggung kerugian tetapi juga mendapat malu apabila majlis persandingan yang diinginkan, bertukar dan tidak seperti yang diharapkan.
Bagi menyakinkan orang ramai bahawa syarikat pengurusan majlis, Event Wedding & Catering (EW) yang diuruskan oleh Fitry Mustafa mampu menepati citarasa dan kehendak pelanggan, pengalaman selama 15 tahun dalam bidang katering dan sajian makanan untuk majlis-majlis perkahwinan menjadi sandaran.
Walaupun pengurusan majlis perkahwinan sejak kebelakangan ini tumbuh macam cendawan, EW bukan sahaja bersedia untuk bersaing tetapi juga mempunyai kekuatan untuk tampil sebagai event space yang menguruskan majlis-majlis perkahwinan yang boleh dipercayai.
Menurut Pengasas EW, Fitry, beliau yakin dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat untuk menggunakan khidmat pengurus majlis perkahwinan dan katering apabila mereka bekerjasama dengan I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor yang memulakan operasinya tahun ini.
"Tidak dinafikan kejadian seperti ini memang berlaku yang mana pihak pengurusan majlis perkahwinan dan katering menipu klien-klien atau pelanggan-pelanggan mereka.
"Bagi saya, apabila kita diberikan amanah untuk menjalankan sebuah majlis perkahwinan, kita harus jujur dan berpegang kepada amanah itu.
"Ini kerana bukan sahaja pasangan pengantin baharu yang mahu majlis mereka berjalan lancar dan sempurna tetapi ibu bapa kepada kedua-dua mempelai juga mahu melihat majlis persandingan atau resepsi anak-anak mereka memahat memori indah dalam kehidupan," katanya usai majlis pembukaan EW Grand Hall di I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Fitry, pengurusan EW yakin dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai, apa tah lagi selepas berbincang untuk bekerjasama dengan pihak I-City Convention Centre Shah Alam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/ew-catering-melangkah-dari-kilang-tiga-tingkat-ke-i-city-convention-centre-1.845092#ixzz5gGr1OZfA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Shopee bantu B40 jana pendapatan tambahan



KUALA LUMPUR 20 FEB. - SHOPEE, platform e-dagang terulung di Asia Tenggara dan Taiwan menerusi Shopee University komited membimbing golongan berpendapatan rendah (B40) menjadi penjual di platform itu untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Ketua Operasi Shopee Malaysia, Esten Mok berkata, buat masa ini terdapat lebih 400,000 penjual yang berdaftar dan 5,000 daripadanya aktif menghadiri bengkel anjuran Shopee University.
Katanya, kebanyakan daripada penjual berdaftar Shopee terdiri dalam kalangan suri rumah dan mereka yang sudah bekerja seterusnya memanfaatkan platform dalam talian itu untuk berniaga.
“Pada 2017, seorang daripada penjual Shopee yang merupakan suri rumah merekodkan perolehan hampir RM1 juta. Ini merupakan pencapaian membanggakan.

“Kami yakin dengan pelbagai inisiatif menerusi Shopee University bakal melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Shopee University menandatangani kerjasama dengan FPX, bagi melancarkan video tutorial dalam talian untuk membimbing lebih ramai para penjual di platform itu.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Tay Gim Soon.
Menerusi kerjasama itu, Mok memberitahu, satu video akan dimuat naik setiap minggu dan jumlah keseluruhan adalah 10 video.
“Antara kandungan video meliputi panduan bagi membuat pembayaran dan transaksi dalam talian yang mudah serta memaksimumkan pemasaran digital,” katanya.
Shopee University ditubuhkan pada 2016 bagi membantu peniaga memperkasakan perniagaan di dalam talian dan mendorong pertumbuhan jualan.
FPX dikendalikan oleh PayNet merupakan penyelesai­an pembayaran dalam talian yang membolehkan pembeli membayar pembelian e-dagang menggunakan akaun meliputi 29 buah bank di Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/shopee-bantu-b40-jana-pendapatan-tambahan-1.845228#ixzz5gGrdS3mV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasukan khas ditubuh kesan kumpulan samun bermotosikal

Pasukan khas ditubuh kesan kumpulan samun bermotosikal: KLANG 22 Feb. - Polis Klang Selatan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan sekumpulan lelaki yang melakukan kegiatan samun bersenjatakan parang di sekitar daerah ini dan kawasan Lembah Klang dekat sini.

Tuesday, 19 February 2019

Danial Hafiz(Bintang Kecil) - Hakikat (Official Lyrics Video)



Dengarkan nyanyian beliau.Seorang pelajar yang memiliki kemerduan suara yang mengasyikkan.

Ahmad Dhani dihukum penjara 1 tahun 6 bulan



JAKARTA 28 Jan. - Pemuzik Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo dijatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan hari ini kerana membuat ungkapan kebencian berkaitan isu suku, agama dan ras (sara) dalam akaun twitter miliknya sebelum ini.
Hukuman tersebut dibuat Majlis Hakim Pengadilan Negeri Jakarta Selatan.

Terdahulu menurut pendakwa, tiga hantaran di media sosial Ahmad Dhani terbukti menimbulkan kebencian, pertama; “yang menistakan agama si Ahok, yang diadili KH Marif Amin,”
Kedua; “Siapa saja mendukung penista agama adalah bajingan yang perlu diludahi mukanya”.
Ketiga; “Sila pertama ketuhanan yang maha esa, penista agama jadi gubernur, kalian waras”. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ahmad-dhani-dihukum-penjara-1-tahun-6-bulan-1.831335#ixzz5gGxvJ16C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Normazila gigih jual sate


SUNGGUHPUN Normazila Abdul Samad, 32, tidak berpelajaran tinggi, namun perniagaan sate diusahakannya di pekan Bota, Perak mampu menarik sejumlah pelanggan yang ramai. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke kawasan perkelahan Lumut dan destinasi pelancongan Pulau Pangkor.
Di sepanjang laluan sibuk itu, pengguna jalan raya dari seluruh pelusuk negara terutama dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan biasanya singgah di deretan gerai yang menjual buah-buahan dan makanan yang dibuka di bahu jalan.
Antara makanan yang menarik perhatian mereka adalah sate yang dijual di gerai Sate Zila terletak bersebelahan pejabat Lembaga Tabung Haji Bota.

Gerai jualan sate milik Normazila dan suaminya, Wan Razual Shah Rizal Ahmad, 38, diuruskan dengan bantuan seorang pekerja, Shila Amin, 30. Gerai itu mampu mencatatkan jualan memberangsangkan iaitu sekitar 1,500 cucuk sate sehari jika cuaca cerah dan baik.
Normazila berkata, dia mula mengusahakan jualan sate di gerai itu pada 2014.
Dia memilih menu itu kerana jualan sate tidak mempunyai risiko tinggi dan makanan itu pula digemari pelbagai kaum di negara ini.
Selain itu katanya, dia membuka gerai di lokasi tersebut kerana kebanyakan pelancong yang dalam perjalanan menuju ke Lumut dan Pulau Pangkor gemar singgah membeli-belah di deretan kedai di situ sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka gerai sate di situ.
“Pada cuti hujung minggu dan cuti umum, kawasan ini menjadi tumpuan ramai,” katanya kepada Mega Rona.
Gerai Sate Zila menawarkan sate ayam, daging, paru dan perut serta air kelapa pada hari biasa.
Pada hari Sabtu dan Ahad pula, Normazila menambah jenis minuman iaitu air lemon, laici dan milo serta burger.
Normazila berkata, harga bagi setiap cucuk sate adalah 60 sen bagi sate daging dan perut manakala sate paru berharga 90 sen secucuk.
Menurutnya, selain pelancong dan pengguna jalan raya, penduduk sekitar Bota, Seri Iskandar dan Kampung Gajah juga selalu singgah di gerainya.
“Saya dapat bekalan bahan mentah daripada PCK Fresh Mart Sdn. Bhd. yang terletak di Seri Iskandar,” tambahnya.
Normazila membuka gerainya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, mulai pukul 3 petang hingga 7 malam manakala pada Sabtu dan Ahad dia memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam.
Antara keistimewaan sate mereka adalah saiz yang lebih besar dan cukup rempah ratusnya di samping hanya daging segar digunakan untuk menghasilkan sate.
Mengulas cabaran yang dihadapi, katanya, sate tidak habis dijual berikutan cuaca hujan beserta angin kuat sehingga mematahkan payung gerai yang dipasang merupakan antara cabaran yang pernah ditempuhnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/normazila-gigih-jual-sate-1.839592#ixzz5gGsSabIU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AmanahRaya lancar tranformasi pengiklanan digital

AmanahRaya lancar tranformasi pengiklanan digital: KUALA LUMPUR 19 Feb. - Amanah Raya Bhd. (AmanahRaya) melancarkan transformasi pengiklanan digital sebagai satu daripada usaha untuk mengukuhkan jenamanya.

Impian melihat kereta terbang di Malaysia bakal jadi realiti

Impian melihat kereta terbang di Malaysia bakal jadi realiti: KUALA LUMPUR 19 Feb. - Impian rakyat Malaysia untuk melihat kereta terbang kini selangkah lebih hampir apabila demonstrasi kereta terbang pertama negara dijangka dibuat tahun ini.

Thursday, 14 February 2019

Angkasa yakin peningkatan sasaran RM55 bilion mampu dicapai

Angkasa yakin peningkatan sasaran RM55 bilion mampu dicapai: BENTONG 9 Feb. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) optimis gerakan koperasi mampu mencapai sasaran perolehan sebanyak RM55 bilion yang ditetapkan kerajaan menjelang 2020.

Wednesday, 13 February 2019

Maybank kekal sebagai bank pilihan

Maybank kekal sebagai bank pilihan: KUALA LUMPUR 8 Feb. - Maybank yang akan mengumumkan keputusan kewa­ngan bagi suku keempat 2018 pada 26 Februari ini kekal sebagai pilihan utama RHB Research Institute dalam kalangan bank-bank di Malaysia.

Tuesday, 12 February 2019

P. Ramlee: Padamnya Sebuah Pelita



HARI-HARI terakhir P. Ramlee selepas ber­hijrah dari Singapura ke Merdeka Film Studio di Hulu Kelang sebenarnya banyak dihabiskan di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Hari Itu Sudah Berlalu (2011), Seniman Agung itu selalu datang menemui Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi yang juga seorang penulis skrip filem dan drama yang prolifik.
“P. Ramlee sering datang menemui Osman di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur dan kerana bilik Osman berse­belahan dengan bilik saya maka saya kerap melihat P. Ramlee menghabiskan masa­nya berjam-jam bercerita de­ngan Osman.

“Oleh kerana kesibukan sebagai Pengarang Berita, saya tidak berkesempatan untuk menjalin perhubungan yang rapat dengannya. Hal ini saya kesalkan hingga sekarang kerana melepaskan peluang untuk mendekati orang yang sukar untuk dicari ganti (Zainuddin Maidin 2011: 130).
Zainuddin Maidin dalam bukunya Pertama dan Ter­akhir (1980) menceritakan, P. Ramlee pernah tersinggung apabila beliau ditanya mengapa tidak mahu muncul dalam televisyen Malaysia ketika itu.
“Saya tidak payah muncul di TV, muka saya orang sudah kenal” katanya sambil menambah, “orang seperti saudara memang tidak tengok gambar Melayu, tetapi orang kampung, para petani dan nelayan masih tengok gambar saya,” kata P. Ramlee masih marah.
P. Ramlee lalu memanggil Jiro (Ali Salim) Pengarang Utusan Melayu untuk me­ngadu hal itu. Kata P. Ramlee: “Jiro tengok budak ini, dia kata orang Me­layu tak tengok gambar Me­layu lagi, dia tak te­ngoklah!”
Semasa diwawancara oleh Utusan Melayu, P. Ramlee menjelaskan: “Pemberhentian saya daripada Shaw bukan ber­erti saya mengundurkan diri daripada dunia perfileman.
Saya sekarang menjadi pengarah bebas,” ujar Seniman Agung itu. Semasa menjawab soalan wartawan Utusan Melayu mengenai masalah yang dihadapi dengan Shaw Bro­thers, P. Ramlee menerangkan: “Masalah saya dengan syarikat Shaw bukan masalah wang, masalah saya ialah masalah mutu filem. Saya lebih mementingkan mutu persembahan, kalau saya fikirkan masalah wang, saya boleh menghasilkan 10 buah filem dalam setahun.
“Masalah saya ialah mas­alah seni yang bertakhta di hati. Kalau hati rosak, rosaklah seni seperti lagu dengan irama, kalau rosak lagu, pincanglah irama...” ujar P. Ramlee. Me­nurut laporan Utusan Melayu lagi, punca sebenar masalah yang dihadapi P. Ramlee sehingga beliau merajuk dan meninggalkan Shaw Brothers ada kaitan dengan polisi baharu syarikat perfileman itu yang mewajibkan setiap filem arahannya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Sekiranya filem itu lewat seminggu dari tempoh tersebut pihak Shaw akan memotong pembayaran kepadanya sebanyak S$1,000. Jika lewat dua minggu akan dipotong S$1,000 lagi menjadi S$2,000 dan pemotongan bayaran akan dilakukan apabila berlaku lagi kelewatan.
Syarat-syarat yang menekan kebebasan P. Ramlee berkarya itulah yang menyebabkan Se­niman Agung itu ‘merajuk’ lalu memutuskan untuk berhenti mengarah dan berlakon setelah beliau berkhidmat selama 16 tahun dengan Shaw Brothers (1948 -1964).
Azizah lagu terakhir 
di­nyanyikan P. Ramlee
Pada malam itu, 28 Mei 1973, kira-kira pukul 8 malam, P. Ramlee menyanyikan lagu gubahannya yang pertama ‘Azizah’ untuk diperdengarkan kepada Osman Abadi menerusi telefon. Ketika itu Osman sedang menyiapkan skrip filem Azizah yang akan di­arahkan oleh P. Ramlee. Osman memberitahu, skripnya sudah siap tetapi dialognya belum ada lagi.
Sambil berbual dalam te­lefon P. Ramlee berkata kepada Osman Abadi: “Biarlah saya nyanyikan lagu Azizah supaya you dapat ilham untuk buat dialog,” kata P. Ramlee dan menyanyikan sebahagian lagu tersebut.
“Itulah lagu pertama yang digubahnya dan itulah lagu terakhir yang dinyanyikannya. Kira-kira pukul 4 pagi, 29 Mei 1973, P. Ramlee menghembuskan nafasnya yang terakhir” (Zainuddin Maidin 1980: 82).
Utusan Malaysia pada 30 Mei 1973 menyiarkan berita kematian P. Ramlee di muka satu bertajuk: “Padamnya Sebuah Pelita” mengenai kehilangan Seniman Agung yang sukar dicari ganti.
Saloma menelefon Osman Abadi pada pukul 5 pagi bagi menyampaikan berita sedih mengenai kematian P. Ramlee itu yang dijawab oleh isterinya.
“Mendengar berita ini, Osman terpaksa dipapah naik ke tingkat atas rumahnya untuk menelefon Ketua Pengarang Utusan Melayu, Mazlan Nordin” (Zainuddin Maidin 1980: 82).
Utusan Malaysia melaporkan, apabila berita kematian P. Ramlee disiarkan oleh Radio Malaysia pada pukul 7 pagi ada orang yang tidak sedar telah terjun menerusi tingkap untuk memberitahu jirannya bahawa P. Ramlee sudah tiada.
Di Balik Pulau, Pulau Pinang, sekumpulan anak muda yang kebingungan mendengar be­rita itu telah memainkan lagu P. Ramlee dari pagi hingga ke larut malam seolah-olah tidak dapat merelakan pemergiannya. ‘Padamnya Sebuah Pelita’ adalah kata-kata yang paling tepat menggambarkan pera­saan terhadap seniman agung P. Ramlee yang masih tiada penggantinya sampai sekarang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/utusan-rakam-sejarah/p-ramlee-padamnya-sebuah-pelita-1.837897#ixzz5gH0jRVnR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 11 February 2019

Makna tersirat Dr. Mahathir tubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi



KUALA LUMPUR 12 Feb. - Tindakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi semalam mempunyai makna yang tersirat.
Tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin berkata, penubuhan majlis itu secara langsung mengakui bahawa jentera yang sedia ada, khususnya Kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.
Menurut A. Kadir, realitinya selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.
"Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam.
"Saya rasa ramai orang tahu bahawa Perdana Menteri sendiri tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet," kata A. Kadir dalam blognya  The Scribe A. Kadir Jasin hari ini.
Tambah A. Kadir, boleh dikatakan setiap kali Dr. Mahathir bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau akan ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri.
Dr. Mahathir turut ditanya mengenai menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi.
"Kurangkanlah atau berhenti berswafoto dengan kakitangan sendiri dan membuat tampalan Facebook, Twitter atau Instagram yang remeh-temeh.
"Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlo," kata A. Kadir.
Beliau turut memberi ingatan bahawa media sosial yang membantu kemenangan PH akan menjatuhkan PH jika menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri buat kerja tidak senonoh, tidak cekap dan tidak mesra rakyat.
Tegas A. Kadir, amat tidak bertanggungjawab dan amat dangkal mengharapkan Perdana Menteri menyelesai dan membersihkan semua “najis” yang dibuat oleh menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.
Semalam Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dengan 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin indusri.-UTUSAN ONLINE 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/makna-tersirat-dr-mahathir-tubuhkan-majlis-tindakan-ekonomi-1.839192#ixzz5gGsoGEPa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Malaysia dan risiko ekonomi

ENTAH mengapa, mutakhir ini seakan ada sesuatu yang masih tidak kena dengan strategi ekonomi Malaysia. Jika bersandarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, Malaysia sepatutnya berada di landasan ekonomi mantap. Kejayaan menjatuhkan kerajaan yang lebih enam dekad mentadbir negara digambarkan sebagai fenomena cukup luar biasa. 
Kejayaan menjatuhkan kerajaan yang memimpin demikian lama disambut dengan gegak gempita. Digambarkan kononnya bahawa Malaysia akan kembali bangkit sebagai ‘harimau ekonomi’ berbanding sebelumnya.
Parameter politik dan ekonomi akan dilakukan ‘pengesetan semula’ (resetting) dengan sebaiknya.Sayangnya, setelah hampir 10 bulan berlalu, seakan-akan ada hambatan besar kepada usaha memberdaya ekonomi negara.
Ya, kita disuapkan hampir setiap hari bahawa kononnya ini semua berlaku kerana penyakit syarikat ‘1MDB’. Namun begitu, jika kita meletakkan syarikat 1MDB ini di luar parameter ekonomi sekalipun; tidak banyak perkara baik sedang berlaku.
Idea dan strategi ekonomi masih belum jelas. Walaupun pada ungkapan dan ucapan ia kelihatan positif; hakikatnya pasaran tidak memberi respon baik dan positif.
Seminggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan sebuah badan khas persis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan diwujudkan oleh kerajaan. Sebelum daripada itu, telahpun diumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas berkait hutang dan liabiliti negara.
Pada pandangan penulis, tindakan dan usaha ini wajar dan tepat. Malahan, ia perlu disegerakan. Idea dan strategi ekonomi negara bergentayangan tanpa haluan yang jelas.
Mandat politik gagal diterjemah kepada usaha merekayasa ekonomi dan daya saing negara. Kerja buat kementerian yang sepatutnya merangka dan menyusun strategi ekonomi juga kelihatan kelesa dan tidak lunas.
Global Risks Report 2019
Penulis baru sahaja tamat membaca The Global Risks Report 2019 yang diterbitkan oleh World Economic Forum. Ini antara laporan WEF yang amat gemar penulis telusuri di awal tahun. Sebahagian pandangan kajian risiko global ini boleh dijadikan kayu ukur kemampuan negara menyusun perencanaan ekonomi.
Apabila memberikan fokus kepada bab khas mengenai negara Malaysia, angka dan laporan yang ditunjukkan tidaklah molek dan menggembirakan.Seakan ada jurang besar di antara ‘risiko global’ dan apa yang sedang kita hadapi di Malaysia.
Sementara di peringkat global, kekhuatiran dan kerisauan masyarakat antarabangsa lebih tertumpu kepada isu-isu seperti perubahan iklim dan cuaca, krisis air, bencana alam buatan manusia dan lain-lain; Malaysia masih berdepan isu-isu rutinan ekonomi.
Antara yang disenaraikan Global Risks Report 2019 sebagai ‘kegusaran ekonomi paling utama’ dalam konteks Malaysia adalah perkara berikut:-
 Pengangguran dan fenomena under employment
 Perdagangan haram
 Inflasi yang tidak terkawal
 Krisis fiskal
 Asset bubble atau gelembung hartanah
 Kejutan harga minyak dan gas
Kegagalan infrastruktur strategik
Penulis tidak mahu menilai setiap isu secara spesifik - kerana ia wajar dilakukan oleh mereka yang sedang merasai “nikmat kuasa” di Putrajaya - namun cukup dikatakan bahawa ia cukup merisaukan.
Nampaknya, sentimen negatif rakyat mengenai kemampuan kerajaan mengurus dasar ekonomi ini dikongsi secara jelas oleh badan penyelidik antarabangsa. 
Minta maaf cakap, merujuk kepada kategori failure of national governance, kegagalan pengurusan dan pentadbiran nasional, kedudukan Malaysia berada di tahap yang amat membimbangkan.
Rasanya dalam sidang Parlimen lepas, cukup banyak rakan-rakan dalam kalangan wakil pembangkang mahupun kerajaan bercakap mengenai isu “pengangguran” dan fenomena under employment. Cukup banyak isu yang dibangkitkan - sayangnya, kita masih belum melihat pembuktian bahawa sesuatu sedang dilakukan di peringkat nasional.
Menteri yang diharapkan menjaga kepentingan generasi muda terlalu sibuk dengan usaha pinggiran menjual ruang pemasaran “instagram” dan sebagainya.
Lebih malang lagi, demi menjaga ego peribadi; sanggup pula bergaduh mulut dengan usahawan Melayu. Kegelisahan rakyat berkenaan isu ekonomi tidak boleh ditenangkan melalui ‘twitter’, ‘instagram’ dan media sosial yang lain.
MTEN
Pada hemat penulis, badan pemantau ekonomi ala-MTEN nanti, wajar melihat isu ini secara tuntas dan bersungguh.
Jangan biarkan “kekecewaan” rakyat, khususnya kelompok generasi muda berpendidikan dikecewakan suasana ekonomi suram dan kabur.
Badan ini nanti, seharusnya mampu mengisi segala “kelompangan” idea dan strategi di peringkat paling tinggi di dalam kerajaan. Kita memerlukan idea-idea besar dalam menangani isu yang akrab di hati rakyat. Generasi muda memerlukan visi dan aspirasi jelas daripada kerajaan.
Ini bukannya Malaysia yang mereka undi dan harapkan. Mereka mengharapkan perubahan luar biasa. Bukan perubahan ala kadar, seperti melepaskan batuk di tangga. 
Adakala kita disedapkan oleh ayat manis penjaga amanah ekonomi supaya bersabar untuk tempoh tiga tahun yang akan datang. Ironi, kerana mereka beria-ia mengatakan mampu menyelesaikan isu ekonomi dalam masa 100 hari!
Mudah sangat untuk mereka menawarkan janji baru untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam 1000 hari. Ibaratnya seperti “mengalih kain ke balik rumah; mengalih kata ke hadapan”.
Terus terang, penulis tidak yakin rakyat mahu dan rela menunggu sebegitu lama. Sebahagian besar mereka yang terbuai dengan janji palsu, sudah semakin kecewa dan gusar. Hidup mereka di kampung tertekan.
Kehidupan anak cucu mereka di bandar juga turut terhimpit. Di mana strategi dan ikhtiar kerajaan? Apa strategi baru yang sudah dilaksanakan?
Penulis mengharapkan kalangan pembuat dasar dan strategi ekonomi negara melihat dapatan Global Risks Report 2019 dan melihat ke mana destinasi sebenar yang sedang mereka aturkan.
Harapan rakyat menggunung tinggi; namun setakat ini mereka dikecewakan dengan prestasi pemimpin yang kelalap dan tenggelam. 
Nyatanya, strategi ekonomi dan agenda kesejahteraan rakyat yang ditawarkan kerajaan belum padu dan ampuh. Rakyat masih berasa tertekan.
Setakat hari ini, kerajaan belum mampu meletak diri sebagai “kayu besar di tengah padang; tempat bernaung kepanasan; tempat berlindung kehujanan”.
Yang ada dan menjadi tamsilan, hanyalah mereka yang bermuslihat untuk kepentingan diri sendiri.
DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.

Sumber: Utusan

Aziz pemegang saham terbesar Utusan




KUALA LUMPUR 8 Feb. - Syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir telah berjaya melakukan transaksi pembelian saham Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) dengan jumlah dagangan sebanyak 31.6 peratus daripada UMNO.
Transaksi ini menyaksikan bahawa Aziz yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Utusan merupakan pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta.

Aziz pernah menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif Utusan sejak bulan Jun 2018 sebelum melepaskan jawatannya pada Disember 2018. Sepanjang enam bulan tersebut, pelbagai langkah dan pelan transformasi te­lah dirancang dan penstrukturan semula syarikat Utusan sedang diusahakan termasuklah melak­sanakan Skim Pe­misahan Sukarela (VSS) yang melibatkan 700 orang pekerja.
Syarikat juga telah mengemukakan cadangan pertama pada skim penyusunan semula hutang kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat pada 26 Oktober lalu.
Aziz, 56, kembali semu­la menerajui UMMB sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Aziz menganggap pembe­lian saham ini merupakan satu cabaran bagi memastikan institusi keramat Melayu yang berusia 80 tahun ini dapat dibangunkan semula.
Aziz juga mengharapkan sokongan semua pihak dapat membantu meningkatkan pendapatan syarikat dalam penjualan surat khabar, pengiklanan dan operasi media baharu.
Utusan akan terus bergerak sebagai perantara yang menyampaikan minda rak­yat dengan lebih matang dan terbuka dan pada masa yang sama akan terus memperjuangkan martabat Melayu dan Islam.
Pembelian hari ini melakarkan sejarah tersendiri kerana Utusan yang diasaskan oleh Yusof Ishak pada 1939 telah diambil alih oleh UMNO pada pada 1959 dan hari ini pada 2019, Aziz muncul sebagai pemegang saham terbesar.
Kemasukan semula Aziz ke UMMB dilihat mampu untuk memastikan program penstrukturan semula kumpulan syarikat ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengembalikan kedudukan UMMB sebagai syarikat media yang dihormati di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/aziz-pemegang-saham-terbesar-utusan-1.837486#ixzz5gGyn5eb2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh Diri Kerana Facebook

*[12-2 8:22 AM] #JohoRespondTeam🇲🇾🇧🇳*

*Suami Larang 'Main' Facebook Isteri Nekad Bunuh Diri*

*Agensi | Diterjemahkan oleh: Raja Hisyam Raja Zaid  / Februari 11, 2019 21:20 MYT*
""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
*KALIMANTAN: Gara-gara media sosial, macam-macam yang tidak diingini boleh berlaku.*

Terbaharu hanya kerana aplikasi Facebook seorang isteri dipercayai sanggup menggantung dirinya.

Lapor media tempatan, kejadian malang ini berlaku di di Kelurahan Sungai Paret, Kecamatan Penajam, di Kalimantan Timur, Indonesia.

Mangsa berusia 22 tahun bernama Arniati sebelum itu dikatakan dilarang oleh suaminya daripada menggunakan laman sosial popular, Facebook.

Gara-gara larangan itu beliau dikatakan telah bertengkar dengan suaminya yang turut didengari oleh jiran-jiran.

Bagaimanapun kejadian itu tanpa diduga berakhir dengan begitu tragis apabila mayat Arniati ditemukan tergantung di dalam biliknya pada Khamis lalu.

Dia bagaimanapun dikatakan sempat mencurahkan kekecewaannya itu di status WhatsApp miliknya dengan menulis bahawa dia mahu mengakhiri kehidupannya dan meminta maaf kepada semua keluarganya.

Menurut suaminya yang dikenali sebagai Sujaedi, selepas pertengkaran dengan isterinya itu beliau dan isterinya masing-masing tidak bercakap

Namun Sujaedi menyatakan isterinya masih lagi aktif bermain Facebook selepas pertengkaran tersebut.

Beliau bagaimanapun berasa tidak sedap hati selepas itu selepas melihat status aplikasi WhatsApp milik isterinya itu yang menyatakan dia akan mengakhiri kehidupannya.

Sujaedi tidak menyangka sama sekali bahawa isterinya itu benar-benar melakukannya dengan menggantung dirinya di biliknya dengan menggunakan tali buaian pada petang kejadian itu.

*[12-2 8:23 AM] #JohoRespondTeam🇲🇾🇧🇳* http://www.astroawani.com/berita-dunia/dilarang-bermain-facebook-isteri-akhirnya-nekad-gantung-diri-198246

Sunday, 10 February 2019

Ratapan Sufian undang simpati

Ratapan Sufian undang simpati: SEMINGGU berlalu namun bahang kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) masih dirasai. Nama Sufian Suhaimi pastinya meledakkan suhu panas dek persembahan yang menyentuh hati jutaan peminat setianya menerusi lagu Di Matamu.

Thursday, 7 February 2019

Nyanyian berkubur, Ayim pernah kerja pasar raya

Nyanyian berkubur, Ayim pernah kerja pasar raya: Pepatah Melayu ada berbunyi, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Barangkali itulah yang dirasai penyanyi yang lahir daripada program realiti emMentor 4/em, Ayim apabila kerjaya seninya hanya bertahan buat sementara waktu.

21 STATISTIK PEMASARAN KANDUNGAN


















CrowdRiff, sebuah portal pemasaran dalam talian terkenal ada mengeluarkan artikel yang sangat pen­ting dengan menyenaraikan 21 statistik memperakui kehebatan satu elemen penting dalam pemasaran iaitu user generated content atau kandungan yang dihasilkan oleh para pengguna.
Anda sendiri sebagai pengguna tidak akan membeli sesuatu produk atau perkhidmatan itu berdasarkan iklan yang disediakan oleh jenama semata-mata. Sebaliknya, anda akan terlebih dahulu membuat sedikit kerja rumah berkenaan dengan jenama produk yang akan dibeli, kualiti produk tersebut dan juga pengalaman serta pendapat beberapa orang telah membelinya.
Selain bertanya dengan kawan-kawan dan saudara-mara, anda juga akan mencari maklumat melalui media sosial dan YouTube. Ada pendapat yang suka, ada pula tidak suka dan ada juga yang neutral. Apa pun yang penting ialah, pendapat mereka jujur.
21 statistik ini bakal membantu anda dalam strategi pemasaran jenama anda sendiri.

1. Sebanyak 87 peratus pengguna masih percaya de­ngan maklum balas dan apa yang dicadangkan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, berdasarkan pengalaman mereka menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan manakala 71 peratus yang lain pula lebih mempercayai penulis blog, vlogger atau individu yang po­pular di media sosial yang mempunyai pengalaman sama ketika menggunakan perkhidmatan atau produk tersebut.
2. Maklum balas para pe­langgan 12 kali akan lebih dipercayai berbanding pemasaran yang dibuat oleh jenama atau syarikat.
3. Dua pertiga daripara pengguna berkata mereka lebih mempercayai pendapat dan pandangan pelanggan yang dimuat naik di internet.
4. Sebanyak 85 peratus daripada pelanggan mendapati kandungan yang disediakan secara visual lebih memberikan impak dari segi pengaruh berbanding gambar dan video yang disediakan oleh jenama atau syarikat.
5. Secara kasar, 30 peratus masa dihabiskan oleh golongan muda adalah di kan­dungan yang disediakan oleh pengguna berbanding jenama.
6. Sebanyak 48 peratus pengguna berpendapat kandungan yang disediakan pengguna lebih mudah untuk mengenali sesuatu produk atau perkhidmatan baharu dengan lebih baik.
7. Sebanyak 41 peratus pengguna akan berasa tertarik untuk membeli produk atau perkhidmatan itu walaupun hanya melihat antara satu hingga empat maklum balas pengguna lain sahaja.
8. Golongan muda merasakan kandungan yang disediakan oleh pengguna lain akan 35 peratus lebih diingati berbanding bahan-bahan pemasaran lain.
9. Tahap interaksi akan meningkat naik sebanyak 28 peratus apabila pengguna didedahkan dengan kandu­ngan yang lebih profesional dan kandungan video disediakan oleh pengguna lain.
10. Sebanyak 84 peratus golongan muda pula berkata pembelian mereka sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh kandungan pengguna.
11. Sebanyak 92 peratus pengguna berkata mereka lebih percaya pemasaran mulut ke mulut berbanding pengiklanan yang dilihat.
12. Hanya dengan meletakkan kandungan yang disediakan oleh pengguna pada muka surat tertentu di media sosial ataupun laman web akan memperbaiki kebarangkalian untuk menukarkan pengunjung kepada pembeli kepada 64 peratus.
13. Kandungan video yang dimuat naik pengguna di YouTube akan memperoleh 10 kali lebih tontonan berban­ding kandungan dan video yang dimuat naik oleh jenama ataupun syarikat.
14. Jika dibuat perban­dingan mengikut kategori umur, 55 peratus pengguna lebih mempercayai kandungan yang disediakan pengguna berbanding bahan pemasaran lain.
15. Sebanyak 25 peratus keputusan dan ca­dangan yang disediakan oleh enjin pencarian terhadap 20 jenama besar dunia terdiri daripada kandungan yang disediakan pengguna dan bukannya jenama-jenama tersebut.
16. Sebanyak 86 peratus golongan muda berpendapat kandungan yang disediakan pengguna merupakan petunjuk terbaik terhadap kua­liti sesuatu produk atau per­khidmatan itu.
17. Sebanyak 70 peratus pengguna menyatakan mereka lebih gemar mendapatkan cadangan daripada rakan berbanding katalog atau dokumen yang disediakan secara profesional oleh jenama tersebut.
18. Golongan muda atau millennial berkata maklumat yang diperoleh me­lalui kandungan yang disediakan pengguna 50 peratus lebih dipercayai berbanding dengan apa yang dipaparkan di televisyen, radio, surat khabar dan majalah.
19. Letakkan kandungan yang disediakan oleh pengguna pada satu muka surat di laman web atau media sosial dan anda akan melihat peningkatan pengunjung yang melihat kandungan tersebut sebanyak 10 peratus hanya dalam masa dua hari.
20. Sebanyak 51 peratus golongan muda me­nyatakan mereka lebih mempercayai dan pembelian mereka dipengaruhi oleh kandungan yang disediakan pengguna yang mereka tidak kenal berbanding golongan yang mereka kenal seperti saudara-mara, rakan-rakan dan rakan sepejabat.
21. Sebanyak 71 peratus peng­guna bersetuju maklum balas yang mereka baca membuatkan mereka berasa lebih selamat dalam membuat sesuatu keputusan pembelian


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/21-statistik-pemasaran-kandungan-1.835599#ixzz5euOlnX2D
© Utusan Melayu (M) Bhd