Dalam kesibukan kita bekerja dan melalui kehidupan berkeluarga, kadang-kadang kita terlupa ibu bapa kita juga perlu diberi perhatian terutama bila seorang daripadanya meninggal dunia. Sebagai anak, kita jarang memikirkan betapa sunyinya kehidupan ibu atau bapa kita yang tinggal berseorangan.
Realistiknya, sebagai anak yang bekerjaya, berapa banyak sangatlah masa yang mampu kita luangkan bersama mereka. Lebih teruk lagi jika kita tinggal di bandar manakala ayah atau ibu ratusan kilometer jauhnya di kampung. Mungkin kita hanya sempat menjengah mereka dua atau tiga kali sahaja dalam setahun.
Saya nak kongsi kisah Badli, sebagaimana yang diceritakan oleh jirannya kepada saya. Badli adalah seorang pesara yang kesunyian sejak isterinya Aishah meninggal dunia. Anak-anaknya, Safiah dan Suhaimi telah berkeluarga, bekerjaya dan menetap di rumah masing-masing di Kuala Lumpur manakala Badli pula di utara Semenanjung.
Kahwin baharu
Hanya pada waktu cuti sekolah panjang atau cuti umum anak-anaknya pulang ke kampung. Ketika itulah baru Badli rasa gembira dan terhibur dengan gelak ketawa anak dan cucu. Pada kebanyakan waktu, dia berseorangan di rumah dan merasa sangat sunyi.
Walaupun sudah bersara, dia masih sihat dan untuk mengisi kesunyian, masanya diisi dengan menghadiri kuliah dan pengajian agama di masjid. Untuk makan minum pula, Zulkifli kerap mengunjungi warung yang berdekatan rumahnya.
Di warung itu, ada seorang pembantu kedai warganegara asing bernama Rini yang berumur awal 30-an. Badli meluangkan banyak masa di warung baik waktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
Dia merasa seronok dan terhibur kerana Rini sangat mesra dengannya. Rinilah tempat dia selalu berceritakan kesunyiannya. Masakan Rini pun sedap dan kena dengan selera Badli.
Selepas kerap diusik rakan-rakannya, Badli akhirnya mengambil keputusan menikahi Rini. Apabila hasratnya disampaikan kepada anak-anak, mereka menentang kerana bimbang ayah mereka akan dimanipulasi oleh Rini. Safiah dan Suhaimi juga mendakwa ayah mereka telah terkena sihir pengasih. Badli berkeras dan pada majlis pernikahannya, tiada seorang pun anaknya hadir.
Selepas bernikah, Badli merasakan hidupnya sempurna dan bahagia walaupun anak-anaknya tidak lagi balik ke kampung menjengok atau menelefonnya. Makan minumnya kini terjaga dan dia sudah ada teman untuk bercerita. Dia tidak kesunyian lagi. Badli rasa seperti muda kembali.
Pujukan isteri muda
Rini pula selalu memenuhi segala keperluan Badli dan mereka kerap melancong ke luar negara. Kerana faktor umur dan bimbang dengan reaksi anak-anak tirinya, Rini selalu memujuk Badli agar membela nasibnya dengan memindah milik beberapa hartanah kepadanya. Dia juga selalu meminta Badli memindahkan sejumlah wang ke dalam akaunnya sebagai persediaan jika berlaku apa-apa ke atas Badli.
Selepas kematian Badli, Safiah dan Suhaimi mengambil inisiatif menguruskan harta pusakanya. Mereka menyesal kerana tidak melayan bapa mereka dengan baik dan mulai menerima hakikat Rini sebagai ibu tiri mereka. Namun, Safiah dan Suhaimi terperanjat bila mendapati kesemua harta ayah mereka telah dipindah milik kepada Rini.
Segala simpanan arwah juga telah hampir habis dipercayai dipindah milik juga kepada akaun Rini. Badli tidak meninggalkan sebarang harta pusaka untuk diagih kepada Safiah dan Suhaimi kerana hampir semuanya telah dipindah milik kepada Rini!
Apabila mereka cuba mendapatkan penjelasan, mereka dihalau kerana menurut Rini rumah bapa mereka itu sudah menjadi milik sahnya sambil menunjukkan geran tanah. Rini juga sudah membawa keluarganya dari seberang untuk tinggal bersamanya di rumah tersebut.
Siapa yang rugi?
Dari segi hukum faraid, waris yang berhak ke atas harta pusaka Badli ialah Rini iaitu 3/24 bahagian manakala Safiah (7/24) dan Suhaimi (14/24) mendapat bakinya. Tetapi kerana semua harta sudah dipindah milik kepada Rini, maknanya tiada harta pusaka yang akan difaraidkan.
Kisah ini wajar dijadikan iktibar kepada kita sebagai anak-anak. Jika ibu atau bapa telah meninggal dunia, anak-anak perlu berkorban meluangkan lebih banyak masa bersama ibu atau bapa yang masih hidup. Kegagalan anak-anak mengisi kesunyian dan kekosongan akan menyebabkan terdapat kebarangkalian ibu atau bapa kita dimanipulasi.
Tiada apa yang boleh dibuat sekiranya pindah milik harta dan wang dilakukan ketika hidup. Tiada sebarang tuntutan boleh dibuat. Safiah dan Suhaimi menyesal tak sudah. Dalam keadaan ini, cuba tanya diri kita sendiri, harta yang ditinggalkan jadi pusaka ke puaka?
Ariffin Sabirin adalah pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad
Sumber: Utusan Malaysia 25 Feb 2019
No comments:
Post a Comment