Transaksi ini menyaksikan bahawa Aziz yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Utusan merupakan pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta.

Aziz pernah menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif Utusan sejak bulan Jun 2018 sebelum melepaskan jawatannya pada Disember 2018. Sepanjang enam bulan tersebut, pelbagai langkah dan pelan transformasi te­lah dirancang dan penstrukturan semula syarikat Utusan sedang diusahakan termasuklah melak­sanakan Skim Pe­misahan Sukarela (VSS) yang melibatkan 700 orang pekerja.
Syarikat juga telah mengemukakan cadangan pertama pada skim penyusunan semula hutang kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat pada 26 Oktober lalu.
Aziz, 56, kembali semu­la menerajui UMMB sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Aziz menganggap pembe­lian saham ini merupakan satu cabaran bagi memastikan institusi keramat Melayu yang berusia 80 tahun ini dapat dibangunkan semula.
Aziz juga mengharapkan sokongan semua pihak dapat membantu meningkatkan pendapatan syarikat dalam penjualan surat khabar, pengiklanan dan operasi media baharu.
Utusan akan terus bergerak sebagai perantara yang menyampaikan minda rak­yat dengan lebih matang dan terbuka dan pada masa yang sama akan terus memperjuangkan martabat Melayu dan Islam.
Pembelian hari ini melakarkan sejarah tersendiri kerana Utusan yang diasaskan oleh Yusof Ishak pada 1939 telah diambil alih oleh UMNO pada pada 1959 dan hari ini pada 2019, Aziz muncul sebagai pemegang saham terbesar.
Kemasukan semula Aziz ke UMMB dilihat mampu untuk memastikan program penstrukturan semula kumpulan syarikat ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengembalikan kedudukan UMMB sebagai syarikat media yang dihormati di negara ini.