Showing posts with label berniaga. Show all posts
Showing posts with label berniaga. Show all posts

Tuesday, 19 February 2019

Normazila gigih jual sate


SUNGGUHPUN Normazila Abdul Samad, 32, tidak berpelajaran tinggi, namun perniagaan sate diusahakannya di pekan Bota, Perak mampu menarik sejumlah pelanggan yang ramai. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke kawasan perkelahan Lumut dan destinasi pelancongan Pulau Pangkor.
Di sepanjang laluan sibuk itu, pengguna jalan raya dari seluruh pelusuk negara terutama dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan biasanya singgah di deretan gerai yang menjual buah-buahan dan makanan yang dibuka di bahu jalan.
Antara makanan yang menarik perhatian mereka adalah sate yang dijual di gerai Sate Zila terletak bersebelahan pejabat Lembaga Tabung Haji Bota.

Gerai jualan sate milik Normazila dan suaminya, Wan Razual Shah Rizal Ahmad, 38, diuruskan dengan bantuan seorang pekerja, Shila Amin, 30. Gerai itu mampu mencatatkan jualan memberangsangkan iaitu sekitar 1,500 cucuk sate sehari jika cuaca cerah dan baik.
Normazila berkata, dia mula mengusahakan jualan sate di gerai itu pada 2014.
Dia memilih menu itu kerana jualan sate tidak mempunyai risiko tinggi dan makanan itu pula digemari pelbagai kaum di negara ini.
Selain itu katanya, dia membuka gerai di lokasi tersebut kerana kebanyakan pelancong yang dalam perjalanan menuju ke Lumut dan Pulau Pangkor gemar singgah membeli-belah di deretan kedai di situ sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka gerai sate di situ.
“Pada cuti hujung minggu dan cuti umum, kawasan ini menjadi tumpuan ramai,” katanya kepada Mega Rona.
Gerai Sate Zila menawarkan sate ayam, daging, paru dan perut serta air kelapa pada hari biasa.
Pada hari Sabtu dan Ahad pula, Normazila menambah jenis minuman iaitu air lemon, laici dan milo serta burger.
Normazila berkata, harga bagi setiap cucuk sate adalah 60 sen bagi sate daging dan perut manakala sate paru berharga 90 sen secucuk.
Menurutnya, selain pelancong dan pengguna jalan raya, penduduk sekitar Bota, Seri Iskandar dan Kampung Gajah juga selalu singgah di gerainya.
“Saya dapat bekalan bahan mentah daripada PCK Fresh Mart Sdn. Bhd. yang terletak di Seri Iskandar,” tambahnya.
Normazila membuka gerainya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, mulai pukul 3 petang hingga 7 malam manakala pada Sabtu dan Ahad dia memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam.
Antara keistimewaan sate mereka adalah saiz yang lebih besar dan cukup rempah ratusnya di samping hanya daging segar digunakan untuk menghasilkan sate.
Mengulas cabaran yang dihadapi, katanya, sate tidak habis dijual berikutan cuaca hujan beserta angin kuat sehingga mematahkan payung gerai yang dipasang merupakan antara cabaran yang pernah ditempuhnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/normazila-gigih-jual-sate-1.839592#ixzz5gGsSabIU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, 12 February 2019

P. Ramlee: Padamnya Sebuah Pelita



HARI-HARI terakhir P. Ramlee selepas ber­hijrah dari Singapura ke Merdeka Film Studio di Hulu Kelang sebenarnya banyak dihabiskan di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Hari Itu Sudah Berlalu (2011), Seniman Agung itu selalu datang menemui Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi yang juga seorang penulis skrip filem dan drama yang prolifik.
“P. Ramlee sering datang menemui Osman di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur dan kerana bilik Osman berse­belahan dengan bilik saya maka saya kerap melihat P. Ramlee menghabiskan masa­nya berjam-jam bercerita de­ngan Osman.

“Oleh kerana kesibukan sebagai Pengarang Berita, saya tidak berkesempatan untuk menjalin perhubungan yang rapat dengannya. Hal ini saya kesalkan hingga sekarang kerana melepaskan peluang untuk mendekati orang yang sukar untuk dicari ganti (Zainuddin Maidin 2011: 130).
Zainuddin Maidin dalam bukunya Pertama dan Ter­akhir (1980) menceritakan, P. Ramlee pernah tersinggung apabila beliau ditanya mengapa tidak mahu muncul dalam televisyen Malaysia ketika itu.
“Saya tidak payah muncul di TV, muka saya orang sudah kenal” katanya sambil menambah, “orang seperti saudara memang tidak tengok gambar Melayu, tetapi orang kampung, para petani dan nelayan masih tengok gambar saya,” kata P. Ramlee masih marah.
P. Ramlee lalu memanggil Jiro (Ali Salim) Pengarang Utusan Melayu untuk me­ngadu hal itu. Kata P. Ramlee: “Jiro tengok budak ini, dia kata orang Me­layu tak tengok gambar Me­layu lagi, dia tak te­ngoklah!”
Semasa diwawancara oleh Utusan Melayu, P. Ramlee menjelaskan: “Pemberhentian saya daripada Shaw bukan ber­erti saya mengundurkan diri daripada dunia perfileman.
Saya sekarang menjadi pengarah bebas,” ujar Seniman Agung itu. Semasa menjawab soalan wartawan Utusan Melayu mengenai masalah yang dihadapi dengan Shaw Bro­thers, P. Ramlee menerangkan: “Masalah saya dengan syarikat Shaw bukan masalah wang, masalah saya ialah masalah mutu filem. Saya lebih mementingkan mutu persembahan, kalau saya fikirkan masalah wang, saya boleh menghasilkan 10 buah filem dalam setahun.
“Masalah saya ialah mas­alah seni yang bertakhta di hati. Kalau hati rosak, rosaklah seni seperti lagu dengan irama, kalau rosak lagu, pincanglah irama...” ujar P. Ramlee. Me­nurut laporan Utusan Melayu lagi, punca sebenar masalah yang dihadapi P. Ramlee sehingga beliau merajuk dan meninggalkan Shaw Brothers ada kaitan dengan polisi baharu syarikat perfileman itu yang mewajibkan setiap filem arahannya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Sekiranya filem itu lewat seminggu dari tempoh tersebut pihak Shaw akan memotong pembayaran kepadanya sebanyak S$1,000. Jika lewat dua minggu akan dipotong S$1,000 lagi menjadi S$2,000 dan pemotongan bayaran akan dilakukan apabila berlaku lagi kelewatan.
Syarat-syarat yang menekan kebebasan P. Ramlee berkarya itulah yang menyebabkan Se­niman Agung itu ‘merajuk’ lalu memutuskan untuk berhenti mengarah dan berlakon setelah beliau berkhidmat selama 16 tahun dengan Shaw Brothers (1948 -1964).
Azizah lagu terakhir 
di­nyanyikan P. Ramlee
Pada malam itu, 28 Mei 1973, kira-kira pukul 8 malam, P. Ramlee menyanyikan lagu gubahannya yang pertama ‘Azizah’ untuk diperdengarkan kepada Osman Abadi menerusi telefon. Ketika itu Osman sedang menyiapkan skrip filem Azizah yang akan di­arahkan oleh P. Ramlee. Osman memberitahu, skripnya sudah siap tetapi dialognya belum ada lagi.
Sambil berbual dalam te­lefon P. Ramlee berkata kepada Osman Abadi: “Biarlah saya nyanyikan lagu Azizah supaya you dapat ilham untuk buat dialog,” kata P. Ramlee dan menyanyikan sebahagian lagu tersebut.
“Itulah lagu pertama yang digubahnya dan itulah lagu terakhir yang dinyanyikannya. Kira-kira pukul 4 pagi, 29 Mei 1973, P. Ramlee menghembuskan nafasnya yang terakhir” (Zainuddin Maidin 1980: 82).
Utusan Malaysia pada 30 Mei 1973 menyiarkan berita kematian P. Ramlee di muka satu bertajuk: “Padamnya Sebuah Pelita” mengenai kehilangan Seniman Agung yang sukar dicari ganti.
Saloma menelefon Osman Abadi pada pukul 5 pagi bagi menyampaikan berita sedih mengenai kematian P. Ramlee itu yang dijawab oleh isterinya.
“Mendengar berita ini, Osman terpaksa dipapah naik ke tingkat atas rumahnya untuk menelefon Ketua Pengarang Utusan Melayu, Mazlan Nordin” (Zainuddin Maidin 1980: 82).
Utusan Malaysia melaporkan, apabila berita kematian P. Ramlee disiarkan oleh Radio Malaysia pada pukul 7 pagi ada orang yang tidak sedar telah terjun menerusi tingkap untuk memberitahu jirannya bahawa P. Ramlee sudah tiada.
Di Balik Pulau, Pulau Pinang, sekumpulan anak muda yang kebingungan mendengar be­rita itu telah memainkan lagu P. Ramlee dari pagi hingga ke larut malam seolah-olah tidak dapat merelakan pemergiannya. ‘Padamnya Sebuah Pelita’ adalah kata-kata yang paling tepat menggambarkan pera­saan terhadap seniman agung P. Ramlee yang masih tiada penggantinya sampai sekarang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/utusan-rakam-sejarah/p-ramlee-padamnya-sebuah-pelita-1.837897#ixzz5gH0jRVnR
© Utusan Melayu (M) Bhd