KUALA LUMPUR 26 Feb. - Keuntungan bersih Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 menyusut sebanyak 83.52 peratus kepada RM153.154 juta berbanding RM929.749 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Perolehan juga susut 2.2 peratus kepada RM11.82 bilion dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM12.08 bilion pada 2017.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar, pertumbuhan hasil internet pada tahun yang ditinjau dibalas timbal oleh servis data, suara dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih rendah.
Katanya, penurunan ini juga disebabkan oleh kemerosotan prestasi aset rangkaian yang diiktiraf oleh kumpulan dalam suku ketiga 2018 yang membawa kepada penurunan 65.9 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM375.5 juta berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Paling mencabar
“Tahun 2018 sememangnya antara tempoh paling mencabar yang pernah dihadapi TM. Kami berusaha keras untuk menghadapi landskap yang kompetitif dan industri yang dinamik tanpa hilang fokus terhadap strategi dan misi organisasi.
“Kami akan meneruskan fasa transformasi berikutnya menerusi Program Peningkatan Prestasi (PIP2019-2021) bagi memastikan daya tahan dan kelestarian jangka panjang ke arah membentuk ‘TM Baharu’,” katanya dalam sidang akhbar prestasi TM di sini hari ini.
Dalam tempoh berkenaan, kumpulan merekodkan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM64.6 juta.
Kumpulan juga telah mengenal pasti peruntukan berjumlah RM982.5 juta bagi susut nilai aset-aset rangkaian tanpa wayar dan tetap susulan tekanan berterusan dalam perniagaan, industri dan ekonomi.
Bagi suku keempat 2018 pula, keuntungan bersih TM susut 74.9 peratus kepada RM69.66 juta berbanding RM277.01 juta bagi tempoh sama 2017.
Keuntungan yang lebih rendah ini turut didorong oleh kos kewangan yang tinggi, keuntungan pertukaran mata wang asing lebih rendah terhadap pinjaman syarikat serta caj cukai.
Jelas Imri, EBIT dinormalisasi kumpulan berjumlah RM1.07 bilion iaitu dalam lingkungan panduan 2018 dengan inisiatif dalam Program Peningkatan Prestasi 2018 (PIP2018) seperti pengoptimuman kos memberikan prestasi operasi yang lebih baik walaupun hasil lebih rendah.
Peratusan
perolehan susut
Mengenai perancangan 2019, Imri berkata, perbelanjaan modal (capex) adalah sama seperti 2018 iaitu antara 19 hingga 20 peratus daripada perolehan.
“Peratusan perolehan dijangka susut satu digit sementara EBIT diunjurkan lebih tinggi berbanding 2018 menerusi pengurusan dan kos yang optimum. Kami percaya TM harus bergerak ke hadapan melangkaui kesalinghubungan untuk terus berdaya tahan.
“Ia tidak berkisar kepada kesalinghubungan data sahaja tetapi menjadi penyelesaian digital dan bergerak ke arahnya. TM akan memacu konvergens dan memperkasakan digital selari dengan transformasi ke arah berorientasikan pelanggan,” ujarnya.
TM mengumumkan dividen interim tunai sebanyak dua sen sesaham atau RM75.1 juta dan pembayaran dijangka dibuat pada 12 April depan.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment