Menurut Mus dalam Kumpulan WhatsApp rakan sekolah, dia meluahkan rasa bimbangnya untuk berdepan dengan cabaran masa depan apabila baru menerima notis pemberhentian kerja ekoran syarikatnya yang berdepan dengan masalah kewangan bakal menutup operasi.
“Kami akan bekerja sampai bulan Mac ini, Insya Allah ada rezeki kami nanti di tempat lain” jawabnya ringkas.
Dia telah berkhidmat selama 23 tahun dalam syarikat tersebut dengan membina kehidupan yang baik bersama ahli keluarganya di Shah Alam, Selangor selain mampu membeli aset untuk pelaburan masa depan.
Meskipun anak-anaknya telah dewasa dan bekerja tetapi umurnya yang belum mencecah 50-an masih bertenaga untuk bekerja kerana pejabat telah menjadi rumah keduanya selain rakan-rakan kerja menjadi saudara terdekat yang dapat menceriakan kehidupan Mus saban hari.
Pastinya, Mus pasti kalut ketika ini memikirkan masa depannya untuk menguruskan segala perbelanjaan ha­rian, komitmen bulanan bagi pembiayaan kereta, rumah dan tabungan masa depan.
Nasib Mus turut dirasai oleh seorang lagi rakan sekolah saya, Ros yang terlibat dalam bidang peruncitan.
Dia telah membuka sebuah rangkaian menjual pelbagai pakaian muslimah lengkap dari hujung kaki hingga hujung rambut di sebuah pusat beli-belah utama di Shah Alam.
Tekanan kos sewa kedai yang tinggi tetapi tidak di sokong dengan jualan yang bertambah setiap bulan membebankan bajet bulanannya.
Ini kerana kunjungan pe­ngunjung semakin berkura­ngan dan membuatkan Ros mula mengintai peluang mencari tapak niaga lain yang lebih murah di lokasi strategik.
Ros sudah merisik beberapa lokasi menarik di pusat beli-belah di sekitar Shah Alam tetapi masalahnya kini ialah kos sewa yang terlalu tinggi.
“Sejak kerajaan bertukar tangan, kami peniaga kecil terasa tempiasnya daripada keadaan ekonomi yang lembap,” jelasnya.
Barang keperluan harian, bahan mentah di pasar apatah lagi makanan juga bertambah mahal harganya.
Pelanggan juga memiliki kurang kuasa beli dan jika mahu membeli-belah, ia akan sibuk bila tiba musim-musim tertentu.
“Disebabkan itu, saya terpaksa membuat promosi yang lebih agresif dalam internet.
“Tetapi persaingan se­ngit dalam industri online menyebabkan saya terpaksa turun padang berniaga di eks­po dan konvokesyen ins­titusi pengajian tinggi,” jelas beliau.
Ini baru dua episod sedih dalam sekumpulan kecil rakyat di negara ini yang terpaksa menghadapi kos sara hidup yang tinggi ekoran pelbagai faktor ekonomi yang berkaitan dengan isu domestik dan sumber luar negara.
Bagaimana pula dengan nasib golongan kumpulan B40, miskin bandar, pesakit yang tidak boleh bekerja dan menerima rawatan di hospital awam, kumpulan pesara termasuk penganggur dan penduduk kampung yang turut menghadapi masalah kewangan.
Buat mereka yang masih bekerja tidak kiralah di sektor awam dan swasta, teruskan berkhidmat tanpa terlalu banyak rasa mengeluh dan tidak puas hati.
Banyakkan bersyukur ke­rana kita masih bekerja, gaji masih diterima setiap bulan meskipun nilainya hanya cukup-cukup makan.
Audit diri, semak semula nilai zakat, sedekah, amal jariah yang disumbangkan selama ini.
Hadapi segala cabaran dan masalah di tempat kerja dengan sabar dan solat.
Perbanyakkan mengadu hanya kepada Allah dan bukan di media sosial seperti di Facebook atau Instragram.
Kosmo Online