WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap Huawei Technologies Co Ltd, China sekali gus menegangkan lagi hubungan dengan gergasi peralatan telekomunikasi terbesar dunia itu.
Huawei menafikan semua dakwaan salah laku oleh AS itu, beberapa hari saja menjelang perbincangan perdagangan dengan Beijing.
Semalam, Jabatan Kehakiman mendakwa Huawei dan ketua pegawai kewangannya (CFO) berkomplot untuk melanggar sekatan AS ke atas Iran dengan menjalankan perniagaan melalui anak syarikatnya yang cuba disembunyikan.
Dalam satu kes berasingan, Jabatan Kehakiman berkata Huawei mencuri teknologi robotik dari T-Mobile US Inc. Menurut Huawei, pertikaian syarikat-syarikat itu sudah diselesaikan pada 2017.
CFO Huawei, Meng Wanzhou yang juga anak perempuan kepada pengasas Huawei, ditahan di Vancouver pada 1 Disember. Susulan itu, China bertindak balas menahan dua warga Kanada atas alasan keselamatan negara.
Wanzhou menafikan sebarang salah laku dan dijangka hadir di mahkamah hari ini untuk membincangkan perubahan kepada syarat ikat jaminnya.
Memetik kenyataan Jabatan Kehakiman Kanada kelmarin, penyiar awam CBC melaporkan bahawa AS secara rasmi sudah memohon ekstradisi beliau.
Huawei yang kecewa dengan dakwaan terbabit berkata pihaknya cuba berbincang dengan pihak berkuasa AS namun permintaan itu ditolak tanpa sebarang penjelasan.
Kementerian luar negeri China turut menyatakan kebimbangannya dan mendesak AS membatalkan waran tangkap dan menamatkan penindasan yang tidak munasabah ke atas syarikat China.
Perkembangan itu mungkin mengganggu rundingan antara Beijing dan Washington minggu ini kerana sebahagian daripada tujuan rundingan adalah untuk meredakan ketegangan perdagangan antara dua negara ekonomi terbesar di dunia itu.
Presiden AS, Donald Trump, berkata Disember lalu beliau boleh campur tangan dalam kes Wanzhou jika ia akan memenuhi kepentingan keselamatan negara atau membantu mencapai perjanjian perdagangan dengan China. - Reuters
No comments:
Post a Comment