Menerusi inisiatif tersebut, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, amalan ziarah guru ke rumah murid terpilih untuk menyantuni golongan ibu bapa atau penjaga mereka akan dijalankan sepanjang tahun.
"Sebelum ini program ziarah seperti ini bukan teras dan pihak sekolah menziarahi rumah murid yang bermasalah tetapi dalam konteks baharu, kita mahu mengetengahkan nilai saling hormat serta budaya kasih sayang.
"Oleh itu, bukan murid bermasalah sahaja diziarahi tetapi kita ziarah atas dasar berterima kasih dan menghormati ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang cemerlang termasuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amin memberitahu, Program Ziarah Cakna akan menjadi platform bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan murid, memahami latar belakang keluarga murid dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.
Kata beliau, program berkenaan akan membuka ruang bagi guru untuk lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan murid di rumah dan lain-lain keperluan atau bantuan kepada murid.
"Maklumat seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan murid," katanya.
Tambah beliau, majlis pelancaran Program Ziarah Cakna Ahad ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Kluang, Johor dan akan digerakkan secara rasmi di enam lokasi lain.
"Lokasi-lokasi tersebut adalah Langkawi, Kedah; Pasir Mas, Kelantan; Kulai, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Hulu Langat, Selangor," katanya. - UTUSAN ONLINE