KUMPULAN iPrice mengemas kini Peta E-dagang, kedudukan 50 peniaga e-dagang teratas Malaysia berdasarkan data terkini suku ketiga (Q3) 2018, baru-baru ini. Kedudukan e-dagang adalah berdasarkan data seperti purata lawatan web, kedudukan aplikasi mudah alih, pengikut media sosial dan bilangan pekerja.
Bisness e-dagang yang paling banyak dikunjungi pada suku ketiga 2018 adalah Lazada dengan purata 23 juta kunjungan web bulanan diikuti oleh Shopee sebanyak 15 juta dan 11street dengan 7 juta.
#E-dagang yang paling banyak dikunjungi Q3 2018
Membandingkan lawatan web bulanan antara lima peniaga e-dagang Malaysia di Q2 dan Q3 2018, Shopee dan 11street mengalami peningkatan 28 peratus dan 21 peratus dalam kunjungan web bulanan. Pada suku lalu, pemacu trafik web utama ialah MyCyberSale (3-7 September) dan jualan 9.9 (9 September).
Tahun ini, MyCyberSale telah dipimpin oleh Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) dan dianggarkan memperoleh RM370 juta dalam nilai barangan kasar (GMV). Pemain utama yang memacu tempoh jualan dalam talian tempatan adalah peniaga e-dagang utama negara bersama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pada September 2018, Lazada dan Shopee sangat aktif dengan jualan 9.9 (9 September). Kedua-dua platform e-dagang itu melancarkan tempoh jualan secara mewah dan mempromosikan ciri perlindungan pengguna tambahan, masa penghantaran yang lebih baik dan memperkenalkan promosi yang menarik. Kedua-dua pemimpin e-dagang juga melancarkan kempen penjualan di seluruh Asia Tenggara dan mengalami peningkatan dalam kunjungan web pada 9 September dan hari-hari yang berikutnya.
Dengan penggunaan telefon mudah alih yang semakin meningkat oleh pengguna hari ini, aplikasi membeli-belah telah memainkan peranan penting dalam pembangunan e-dagang pada Q3 2018. Memimpin musim jualan pada September adalah Shopee dan Lazada, yang mana kedua-dua pemain memperkenalkan tawaran khusus untuk telefon mudah alih untuk meningkatkan penggunaan aplikasi membeli-belah mudah alih masing-masing.
Menurut para ahli, kedudukan aplikasi mudah alih di kedai aplikasi iOS dan Android ditentukan oleh faktor-faktor seperti tajuk aplikasi, jumlah penilaian dan ulasan pengguna.
#Platform E-dagang Terbaik di Malaysia
Platform e-dagang tempatan yang paling banyak dilawati di Malaysia ialah Lelong, GoShop, Hermo, FashionValet, dan CJWOWSHOP. Pemain tertua dalam senarai itu, Lelong yang ditubuhkan sejak lewat 90-an, merupakan satu-satunya bisnes e-dagang yang melebihi 5 juta kunjungan web bulanan pada Q3 2018.
#Tempoh paling penting untuk e-dagang
Berdasarkan data 2017, bisnes e-dagang dijangka mengalami kenaikan 30 peratus dalam lawatan web bulanan pada suku terakhir tahun ini. Suku keempat 2018 akan menjadi tempoh yang paling penting untuk pemain e-dagang kerana hampir semua kempen jualan dalam talian utama berlaku menjelang akhir tahun ini. Antara tempoh jualan yang paling penting ialah jualan 10.10, penjualan 11.11 (juga dikenali sebagai Singles Day), jualan 12.12, dan jualan akhir tahun.
Daripada perspektif jangka panjang, pengumuman Belanjawan 2019 oleh kerajaan Malaysia pada 2 November lalu akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor digital. Antara inisiatif terbesar yang telah diumumkan adalah Cukai Digital, yang bertujuan untuk mewujudkan landskap perniagaan yang adil untuk kedua-dua e-dagang tempatan dan antarabangsa di Malaysia. Ini kerana perniagaan digital global sering mengelak daripada membayar cukai di Malaysia, atas alasan bahawa syarikat mereka tidak hadir secara fizikal di negara ini.
Oleh itu, firma-firma digital antarabangsa mengisytiharkan keuntungan mereka di negara yang mana mempunyai ibu pejabat mereka. Ini menyebabkan negara-negara seperti Malaysia kehilangan hasil cukai. Ini juga menjelaskan mengapa produk tertentu daripada laman web antarabangsa lebih murah daripada produk yang sama yang dijual oleh peniaga tempatan. Di samping itu, Cukai Digital boleh membantu mengukuhkan dan memperluaskan asas hasil kerajaan.
Fakta-fakta yang lebih menarik tentang 50 e-dagang teratas Malaysia boleh didapati di sini: https://iprice.my/insights/mapofecommerce/en/
Utusan Malaysia Online- 18 Jan 2019
No comments:
Post a Comment