MUKADIMAH
Dakwaan harga barang turun dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) belum pun nampak hasilnya. Atau mungkin tidak akan turun sampai bilabila.
Dakwaan harga barang turun dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) belum pun nampak hasilnya. Atau mungkin tidak akan turun sampai bilabila.
Di mana silapnya? Adakah dengan mengembalikan SST ia secara tidak langsung membolehkan ada pihak tertentu ambil kesempatan dan rakyat masih menanggung beban kos sara hidup.
Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati indeks makanan dan minuman bukan alkohol di negara ini meningkat 0.7 peratus pada Disember 2018 berbanding setahun lalu.
Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON mendapatkan pandangan Timbalan Presiden, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), SAIZOL ISMAIL yang juga Pengarah Urusan Firma JTB Partners Sdn. Bhd. mengenai perkara ini.
Terdapat kebimbangan mengenai kes penipuan cukai akan meningkat apabila SST dilaksanakan dengan peniaga ambil kesempatan dan harga barang tidak turun. Bagaimana ia boleh dielakkan, adakah kita perlukan satu penguatkuasaan undang-undang baharu atau sebaliknya?
Saizol Ismail: Setiap sistem mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Cukai barang dan perkhidmatan (GST) mahupun SST, tetap wujud kelompok yang akan mengambil kesempatan. Saya tidak fikir kita perlukan satu undang-undang baharu, sebaliknya kuat kuasakan undang-undang sedia ada secara konsisten. Kita telah ada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang digubal sebagai persediaan sebelum GST beberapa tahun dahulu.
Rakyat yang juga pengguna belum dilihat memainkan peranan sebenar dalam membendung masalah ini. Saya lihat, mereka yang berkemampuan kurang sensitif dengan perubahan harga, manakala mereka yang miskin, walau mereka merasa tempias ini, mereka kurang maklumat untuk akses walaupun pelbagai saluran disediakan terutama melalui aplikasi dan media.
Apakah taktik yang digunakan oleh mereka untuk menipu cukai?
Kebanyakan peniaga mengambil kesempatan daripada kelompongan sistem yang ada. Seingat saya seawal GST dahulu, kerajaan cukup mudah memulangkan kembali tuntutan GST. Namun, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak menipu dengan membuat tuntutan palsu hingga menyebabkan kerugian di pihak kerajaan mencecah berjuta-juta ringgit.
SST pula secara asasnya mudah difahami sebagai cukai satu peringkat di pihak pengilang bagi cukai jualan. Perkara yang menjadi perhatian sebaik SST diperkenalkan kembali antaranya isu pindahan harga, apa yang dimaksudkan ialah bagaimana peniaga mengambil kesempatan dengan memanipulasi penetapan harga antara syarikat terutama syarikat berkaitan.
Lebih mudah difahami adalah kadar harga yang tidak sama berbanding layanan andai berurusan dengan pihak lain. Saya bagi contoh, sekiranya Syarikat A menjual sesuatu produk kepada Syarikat B, yang mana produk tersebut digunakan oleh syarikat B untuk menghasilkan produk-produk lain. Syarikat A boleh sahaja melaporkan produknya pada harga berlainan (kebiasaannya lebih rendah) daripada nilai dijual kepada pasaran. Bila harga yang dilaporkan adalah rendah secara mudah cukai dibayar juga rendah.
Ini bermakna ia antara faktor sebabkan harga barang tidak turun?
Dari sisi lain, penipuan ini wujud kerana ‘niat baik’ peniaga untuk kekalkan harga barang tapi dalam masa sama mereka tidak mahu keuntungan terjejas. Kesannya akan kembali kepada kerajaan akibat kehilangan hasil. Kita semua akui elemen cukai antara faktor kepada harga barang. Semasa GST sebelum ini, secara teknikal ia dikatakan bukan kos kepada perniagaan. Saya setuju. Namun, bila proses ini tidak berlaku sebagai mana sepatutnya terutama peniaga kecil, secara tidak langsung ia bertukar menjadi kos dan meningkatkan harga barang.
Saya yakin dengan perkembangan sistem sekarang, termasuk maklumat dan data-data sistem GST dahulu, sedikit sebanyak akan membantu pihak berwajib seperti Kastam membuat analisis dan perbandingan. Syarikat pun lebih berhati-hati dalam laporan mereka dan saya percaya secara tidak langsung kerugian serta keinginan untuk membuat salah laku sebagai mana sebelum ini mampu dikurangkan.
Adakah undang-undang dan penguatkuasaan kita lemah atau kerajaan ‘terlepas pandang’ hingga ada pihak ambil kesempatan?
Saya berpandangan undang-undang percukaian di negara kita sudah cukup baik. Namun, dalam apa jua pelaksanaan sistem, pendekatan sederhana mesti ada supaya impak dan beban tidak terlalu dirasai oleh industri hingga memberi kesan sebaliknya terutama peniaga kecil. Bila kita terlalu perketatkan garis panduan tertentu dari sudut pelaksanaan, impak ketara yang saya lihat adalah peringkat PKS. Perniagaan mereka mungkin masih kecil, mereka juga tiada kemahiran dan tenaga kerja secukupnya untuk berhadapan dengan hal-hal pematuhan. Tetapi, dalam masa sama dari sudut perundangan, mereka tergolong dalam kelompok yang mewajibkan pematuhan ini.
Benarkah perkara ini berlaku disebabkan akauntan tidak berintegriti?
Persoalan integriti, perkara ini cukup kami jaga. Bersekongkol dalam perkara ini bagi saya umpama meletak tali untuk menggantung leher sendiri. Sebagai akauntan serta perunding percukaian, kami akan membuat teguran dan pandangan terhadap sesuatu isu dan masalah, penyelesaian dan kaedah menurut peruntukan dan garis panduan perundangan. Namun, untuk memastikan pandangan dan teguran kami diikuti, adalah sesuatu di luar kawalan.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment