Thursday, 7 February 2019

Hamida bidan terjun 
dunia keusahawanan





Pengarah Urusan Deligateaux (M) Sdn. Bhd., Datin Hamida Hassan menjadi bidan terjun dalam bidang keusahawanan kerana mewarisi perniagaan yang dimulakan oleh sepupunya pada 2003. Pada waktu itu, Deligateaux dikenali sebagai Jalinan Inovasi yang menjalankan aktiviti perniagaan pastri dan konfeksi.
Jalinan Inovasi berdepan ma­salah pelaburan untuk meneruskan operasi sekitar 2002. Disebabkan itu, Datuk A. Sani yang juga suami kepada Hamida bersetuju mengambil alih operasi sebagai pengerusi syarikat dan meneruskannya sehingga ke hari ini.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini walaupun gemar memasak pelbagai jenis juadah. Saya belajar ilmu perniagaan daripada suami memandangkan beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan memiliki syarikat konsultan kejuruteraan.


“Pada peringkat awal, kos untuk memulakan perniagaan tidak terlalu besar kerana telah memiliki semua kelengkapan seperti pera­latan dan mesin. Selain itu, Deligateaux memiliki barisan chef yang bagus dan pelbagai resipi terbaik. Saya hanya menyambung apa yang telah diusahakan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Deligateaux menambah produk baharu pada 2008 apabila memperkenalkan kek buah. Selain itu, strategi perniagaan turut berubah dengan menghantar produk-produk ke pasar raya besar se­perti Tesco dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berbanding kedai-kedai kecil.
Cabaran utama adalah memastikan produk keluaran Deligateaux sentiasa mendapat permintaan kerana kek dan konfeksi merupakan makanan tambahan. Bagi mencapai matlamat itu, Deligateaux memperkenalkan jenama Dejavuu untuk segmen generasi milenial.
“Syarikat kami mempunyai dua jenama iaitu Deligateaux dan Dejavuu, masing-masing dikhususkan untuk orang muda dan dewasa. Untuk menembusi pasaran orang muda memerlukan strategi yang berlainan kerana keinginan dan cita rasa mereka berbeza berbanding individu berumur 30 tahun ke atas,” katanya.
Seiring dengan perkembangan e-dagang, Deligateaux turut melancarkan laman web e-dagang iaitu www.dejavuu.my pada November 2018 dengan pilihan lebih daripada 40 jenis unit menyimpan stok (SKU).
Bagaimanapun, penghantaran hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang memandangkan kesukaran menghantar produk sejuk beku untuk jarak jauh.
“Pada Mac atau April ini kami akan memperkenalkan sistem stokis yang menyediakan pelbagai insentif atau ganjaran kepada mereka. Kami kini dalam fasa pengenalan produk dengan memperhebatkan kempen pemasaran di media sosial,” ujarnya yang me­rupakan bekas penjawat awam.
Deligateaux turut menghasilkan produk untuk pihak ketiga seperti Mydin dan Ramly Food Processing Sdn. Bhd. (Ramly). Sebahagian besar perolehan Deligateaux disumbangkan oleh pengeluaran produk asal (OEM) dengan nisbah 60:40.
“Ramly merupakan pelanggan OEM kami yang terbesar dengan jualan syarikat itu sahaja dapat me­ngatasi jumlah jualan yang dibuat oleh Mydin di seluruh negara. Pada masa hadapan, kami merancang mengurangkan nisbah perolehan kepada 50:50 menerusi penerokaan pasaran luar negara,” katanya.
Mengenai perancangan eks­port, Pengurus Besar Deligateaux yang juga anak kepada Hamida, Maisarah A. Sani berkata, pihaknya akan mengeksport produk ke China untuk meme­nu­hi permintaan sempena sam­butan Tahun Baharu Cina.
“Setelah tiga atau empat tahun mencuba baru dapat menembusi pasaran China. Setiap produk yang dibawa ke sana memang mendapat sambutan, namun untuk mencari pembeli yang berpotensi agak sukar.
“Brunei dan Bangladesh turut menunjukkan minat untuk mendapatkan produk kami. Produk pastri dan konfeksi di Malaysia diakui berkualiti oleh kebanyakan negara serantau walaupun harganya sedikit mahal berbanding Thailand dan Indonesia,” jelasnya.
Deligateaux memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang memberi nilai tambah kepada perniagaannya. Sijil-sijil tersebut memberi keyakinan kepada pelanggan selain diterima di pasaran global.
Kejayaan Deligateaux turut dibantu menerusi pelbagai bentuk bantuan bagi meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan. SIRIM Berhad baru-baru memberi bantuan sebanyak RM190,000 untuk pembelian mesin di mana kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda sebulan.
Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) turut memberi bantuan kepada Deligateaux.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/hamida-bidan-terjun-8232-dunia-keusahawanan-1.830613#ixzz5gGxQmYPf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

40.8j transaksi menerusi telefon pintar





MUKADIMAH
Segmen e-dagang semakin hari merekodkan peningkatan lebih-lebih lagi apabila permintaan bagi perkhidmatan kurier juga menerima impak positif. Ia dalam masa sama mendorong kepada pertumbuhan pembayaran dalam talian atau eDompet.
Jika 10 tahun dahulu, Facebook adalah medium untuk masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain, kini ia telah berubah menjadi platform buat pelanggan dan pembeli mencari produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Wartawan Utusan Malaysia, NUR HANANI AZMAN mendapatkan pandangan daripada Pengarah Eksekutif iPay88 Holdings Sdn. Bhd., CHAN KOK LONG untuk meninjau prospek buat penyedia penyelesaian pembayaran itu. membuat roti pita di kilang Malinja Doner Kebab & Bakery.
Apakah gajet popular pembayaran dalam talian?
Telefon pintar terus menjadi gajet pilihan bagi pengguna dengan 40.8 juta transaksi direkodkan pada 2018, selepas ia mengambil alih peranan desktop pada 2016. Sepanjang 2018, transaksi desktop kekal hampir sama, purata 2.5 juta setiap suku. Adalah penting untuk perniagaan mengambil perhatian akan nombor ini dan memastikan mereka mempunyai pengalaman mudah alih yang terjamin dan mudah untuk pe­langgan mereka atau berisiko kehilangan peluang perniagaan kepada pesaing yang lebih mahir tentang mudah alih. ­Android hampir mencatatkan dua kali ganda bilangan pengguna mudah alih dan ini seharusnya menjadi fokus utama pemaju aplikasi. Telefon pintar menjadi pemangkin utama bagi perkembangan pesat e-dagang dalam tempoh beberapa tahun lalu dan para peniaga perlu mempergiatkan usaha meningkatkan pengalaman mudah alih mereka dan prestasi aplikasi. Kese­diaan industri baharu untuk memanfaatkan pembayaran digital adalah tinggi, justeru, kuncinya adalah penyelesaian. iPay88 berterusan mewujudkan penyelesaian baharu untuk meme­nuhi permintaan pasaran.
Adakah perbankan dalam talian melepasi kad kredit?
Perbankan dalam talian kekal menjadi kaedah pembayaran pilihan, dengan penggunaan perbankan dalam talian naik tiga kali ganda kepada 13.8 juta transaksi pada suku keempat 2018 berbanding transaksi kad kredit sebanyak 3.5 juta. Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kos urus niaga perbankan dalam talian sejak beberapa tahun lalu berjaya menjadikan perbankan dalam talian sebagai kaedah pembayaran pilihan bagi pengguna. Meskipun begitu, berlaku pertumbuhan signifikan dalam penggunaan kad kredit pada suku keempat 2018 de­ngan transaksi berganda kepada 3.5 juta berbanding 1.8 juta bagi tempoh sama 2017. Perbankan dalam talian kekal menjadi pilihan utama dan masih terdapat pertumbuhan ketara dalam pembelian kad kredit pada 2018.
Mengapa ramai tidak memi­lih kad kredit?
Majoriti pengguna lebih cenderung menggunakan perbankan dalam talian semasa membuat transaksi dalam talian berbanding kad kredit. Ia didorong tiga sebab utama, tiada caj faedah, mesra pengguna dan boleh digunakan oleh bukan pemegang kad kredit. Dalam masa sama, trend itu menunjukkan pengguna kini lebih cende­rung berbelanja mengikut kemampuan. Transaksi melibatkan perkhidmatan pengangkutan terutamanya meningkat dan ia tidak mengejutkan meman­dangkan lebih ramai pengguna kini lebih cenderung membeli tiket pengangkutan awam secara dalam talian. Ini bukan sesuatu yang luar biasa sebab terdapat banyak aplikasi untuk tujuan ini seperti KTM yang sangat sinonim sebagai pe­ngangkutan alternatif antara negeri.
Apakah produk yang merekodkan pertumbuhan jualan tertinggi?
Antara produk yang merekodkan pertumbuhan jualan tertinggi ialah suplemen dan penjagaan kesihatan (336 peratus), makanan dan minuman (75 peratus), Market Place (71 peratus), hadiah dan barang niaga (69 peratus), perkhidmatan pengiklanan (50 peratus), penginapan (45 peratus) dan pengangkutan (38 peratus). Perbelanjaan pengangkutan te­rus meningkat dari segi jumlah jualan daripada tempat ketujuh pada 2017 kepada tempat kelima pada 2018.
Bagaimana pula dengan sasaran jumlah transaksi?
iPay88 menyasarkan untuk menggandakan jumlah transaksi tahun ini, menerusi pelancaran eDompet baharu dan sektor baharu yang memanfaatkan platform digital. Pada 2018, syarikat merekodkan sebanyak 52.45 juta transaksi yang berjaya bernilai RM7 bilion, dengan transaksi tertinggi sebanyak 6.9 juta direkodkan pada Disember. Ini hampir sekali ganda berbanding 28.7 juta transaksi bernilai RM4.8 bilion, dicatatkan pada 2017.
Bagi pihak kami, kami akan terus menyediakan kepada peniaga dan pelanggan kami aplikasi mudah alih dan sistem pembayaran yang lebih mudah untuk digunakan dan dilengkapi ciri inovatif mesra pengguna. iPay88 akan terus menyediakan kepada peniaga dan pelanggan kami aplikasi mudah alih dan sistem pembayaran yang lebih mudah untuk digunakan dan dilengkapi ciri inovatif mesra pengguna.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/40-8j-transaksi-menerusi-telefon-pintar-1.835613#ixzz5gGzDAO4l
© Utusan Melayu (M) Bhd 


1 juta serangan siber setiap hari

1 juta serangan siber setiap hari: KUALA LUMPUR 6 Feb. - Carbon Black, penyedia keselamatan titik akhir generasi akan datang menerusi awan mendapati sejuta cubaan serangan siber direkodkan setiap hari secara purata pada 2018.

Wednesday, 6 February 2019

Burger Jamil bertahan 27 tahun

Burger Jamil bertahan 27 tahun: PERNIAGAAN Jamil Special Burger (JSB) membanggakan pemiliknya apabila mampu bertahan selama 27 tahun. Gerai burger milik Mohd. Jamil Ismail, 44, ini terletak di pekan Jelapang, Ipoh, Perak.

Roti jala, cucur udang dan lempeng pilihan Al-Sultan Abdullah




PUTRAJAYA 6 Feb.- Warga Putrajaya pada baru-baru ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu Ahad lalu.
Walaupun baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong, sifat ramah mesra yang berteraskan prinsip 'raja dan rakyat berpisah tiada' itu terus subur dan tersemat di dalam sanubari diri Seri Paduka.
Perkara itu boleh dilihat menerusi kesudian Al-Sultan Abdullah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Kafe Umai di Presint 2 pada 3 Februari lalu yang sekali gus menjadi pengalaman berharga dan tidak boleh dilupakan bagi pemiliknya, Datin Jamaliah Ja'afar.

Menurut Jamaliah, beliau tidak sangka kerana kafe yang diusahakan sejak 2011 itu menjadi pilihan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj untuk santap minum petang bersama dua puteri baginda, Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Ilisha Ameera.
"Kira-kira pukul 3 petang, seorang pegawai Seri Paduka menghubungi anak saya, Amir Redza Mohd. Tajuddin yang memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan mencemar duli ke Kafe Umai, mula-mula kami macam tidak percaya, tetapi setelah pegawai itu terus mengesahkan bahawa Seri Paduka dan Raja Pemaisuri Agong dijangka berangkat pukul 5.30 petang.
"Sebaik Al-Sultan Abdullah tiba, kami menyembah maklum kepada tuanku bahawa kami ada menyediakan ruangan khas di bahagian atas, sebaliknya Seri Paduka menitahkan ingin santap di tempat makan bersama-sama rakyat jelata lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam masa sama, Amir Redza berkata, beliau menyembahkan senarai menu kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dan memaklumkan kepada baginda berdua mengenai makanan yang menjadikan tarikan pengunjung di situ.
"Antara juadah makanan yang dipilih Seri Paduka bersama Raja Pemaisuri Agong adalah roti jala, lempeng pisang, lempeng kelapa, cucur udang manakala dua puteri baginda pula memilih nasi lemak.
"Kami amat berdebar-debar sama ada masakan kami sedap atau sebaliknya memandangkan Tunku Azizah adalah dikenali dengan hobi suka memasak, Alhamdulilah akhirnya baginda berdua bertitah makanan-makanan disediakan itu 'nice' (baik) dan ini kami bersyukur sangat," katanya.
Kata Amir Redza lagi, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira lebih satu jam disamping beramah mesra dengan orang ramai di kafe itu.
"Malah Al-Sultan Abdullah juga berkenan untuk belanja makan kira-kira 60 orang yang berada di kafe kami dan di sini juga memperlihatkan lagi keperibadian Seri Paduka dalam menyantuni rakyat dengan penuh mesra," katanya.
Beliau berkata, Kafe Umai yang terletak di Monumen Alaf Baharu Presint 2 menyediakan pelbagai hidangan termasuk sajian barat dan beroperasi pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.-UTUSAN ONLINE


Menurut Jamaliah, beliau tidak sangka kerana kafe yang diusahakan sejak 2011 itu menjadi pilihan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj untuk santap minum petang bersama dua puteri baginda, Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Ilisha Ameera.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/roti-jala-cucur-udang-dan-lempeng-pilihan-al-sultan-abdullah-1.835978#ixzz5gGw66vdP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 4 February 2019

Filem Bakti serlah bakat P.Ramlee



SENIMAN agung P.Ramlee diketahui umum memiliki hubungan yang istimewa sebagai kenalan rapat wartawan-wartawan Utusan Melayu di Cecil Street ketika beliau mula menapak dalam filem Melayu sekitar awal 1948 sehinggalah 1960-an meniti zaman kegemilangan dunia perfileman di Studio Jalan Am­pas, Singapura.
P. Ramlee bersahabat baik dengan wartawan Utusan Melayu seperti A. Samad Ismail, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Ahmad Idris (ABI) dan wartawan asuhan­nya, Aimi Jaar yang menulis untuk majalah Gelanggang Filem dan Abdullah Hussain yang mendalikannya majalah Bintang.
Menurut Abi dalam tulisannya bertajuk P.Ramlee yang saya kenal: Satu Imbauan Peribadi (2003) yang diterbitkan dalam buku P. Ramlee Se­niman Agung oleh Arkib Negara Malaysia, semasa P.Ramlee menjejakkan kaki­nya di Studio Jalan Ampas pada penghujung 1948, filem ‘Pisau Beracun’ sedang dalam penggambaran oleh pengarah B.S Rajhans.
Filem tersebut adalah terbitan ketiga keluaran Malay Filem Production (MFP) sejak studio beralamat di No. 8 Jalan Ampas itu memulakan pengeluaran semula filem Melayu selepas Perang Dunia Kedua berakhir“Chinta ialah filem pertama P.Ramlee menghiasi layar perak filem Melayu sebagai pelakon tambahan. Badannya yang kurus, mukanya yang cengkung, pipinya yang tidak licin dan gerak-gerinya yang kaku semasa berlakon tidak memberi ilham kepada B.S. Raj­hans menjadikan sebagai hero filem” (Ahmad Idris 2003: 344).
Menurut ABI, pelakon handalan seperti S.Roomai Noor, Osman Gumanti dan M.Amin terus diberi peluang menjadi hero di dalam filem-filem yang dikeluarkan oleh studio MFP ketika itu.
Menurut Mustafar A.R dan Aziz Sattar dalam buku ‘Filem-filem P.Ramlee’ (2008), tidak banyak dapat diperkatakan mengenai lakonan P. Ramlee dalam filem ini disebabkan pe­ranannya sebagai pelakon pembantu memegang watak antagonis bernama Putar, iaitu watak jahat pada mulanya kemudian menjadi seorang yang baik.
“Sebagai pelakon baru dan buat pertama kali pula berdepan dengan kamera, lakonan P. Ramlee terlalu ba­nyak kelemahan. Lakonannya kelihatan kaku, penuturan dialog tidak tersusun kemas dan seringkali pula tersekat-sekat. Begitu pun, ini tidak boleh disalahkan kepada P.Ramlee kerana dialog pada ketika itu memang tidak disusun de­ngan baik dan lebih banyak mirip keindonesiaan dan kebangsawanan” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008: 15).
Nama P. Ramlee mula dikenali ramai apabila akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika mula memberikan liputan yang meluas terhadap bakat terpendam yang dimiliki oleh P. Ramlee sejak filem Chinta (Oktober 1948), Noor Asmara (April 1949, Nasib (Julai 1949), Nilam (September 1949) dan Racun Dunia (Februari 1950).
Pada April 1950, pe­ngarah L.Krishnan buat pertama kalinya memberikan watak hero kepada P.Ramlee di­samping heroinnya, seniwati Kasma Booty dalam filem ‘Bakti’ arahan terbarunya.
L. Krishnan tergerak me­ngambil P.Ramlee berlakon selepas menonton lakonan beliau sebelum ini seperti filem Noor Asmara, Nasib dan Nilam.
“Agak menarik apabila P. Ramlee digandingkan de­ngan Kasma Booty, pelakon yang begitu terkenal pada masa itu manakala S.Roomai Noor dan Siput Sarawak yang sering membawa peranan utama yang mempunyai ramai peminat diserahkan L.Krishnan sebagai pelakon pembantu” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008: 41).
Pada mulanya, Kasma Booty enggan berlakon disamping P. Ramlee sebagai hero kerana beliau tidak ada pengalaman, tidak kacak dan tidak sesuai memegang watak utama.
Bagaimana setelah dipujuk L.Krishnan, Kasma Booty bersetuju.
Percubaan L.Krishnan itu berjaya dan lakonan P.Ramlee tidak mengecewakannya. L.Krishnan berpuas hati ke­rana berjaya mencipta seorang hero baru di MFP.
Akhbar Utusan Melayu, Ut­usan Zaman, Straits Times dan Sunday Times keluaran 2 April 1950 melaporkan kejayaan P. Ramlee sebagai hero baru filem Melayu dalam filem Bakti.
Utusan Me­layu menjulang bakat P.Ramle dengan kata-kata: “Filem Melayu telah menemui sebutir bintang baru”. “P. Ramlee menjanjikan harapan baru” dan “bakat besar P. Ramlee terserlah dalam Bakti”.
Kasma Booty sendiri terkejut dan tidak menyangka lakonannya dalam filem Bakti bersama P.Ramlee mendapat pujian media serta sambutan hebat dari peminat filem Me­layu di Singapura dan Malaya .
“Bakti seharusnya menjadi juara bagi Malaya Film Productions. Filem Melayu yang terbaru ini menunjukkan bukti tentang sesuatu yang meningkat naik dengan pesatnya dari segi pengeluaran dan arahan” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008).
“Lakonan istimewa P. Ramle menjadi”. Komentar membina dari akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman menerusi filem ‘Bakti’ serta lakonan terpuji P.Ramlee, Kasma Booty, Siput Sarawak dan S.Roomai Noor memberikan gambaran Studio MFP di Singapura menjanjikan masa depan filem Melayu yang gemilang.
Utusan Melayu menggambarkan “P.Ramlee sebagai seorang hero baru dalam pembikinan filem Melayu” yang bakal menggegarkan dunia perfileman di Singapura dan Malaya.
Susulan kejayaan besar filem Bakti, P.Ramlee diberi peluang menjadi hero dalam filem seterusnya ‘Takdir Ilahi’.
“Kalau dalam filem Bakti, P.Ramlee sebagai hero boleh bergantung kuat pada pa­sangannya Kasma Booty serta kehadiran Siput Sarawak dan S.Romai Noor tetapi dalam filem ini dia terpaksa bergantung di atas kemampuan dan kebolehannya sendiri.
“L.Krishnan nampaknya begitu nekad meninggalkan Kasma Booty, S.Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mana mereka bertiga begitu popular ketika itu malahan diberikan­nya pasangan P.Ramlee seorang pelakon baru, Neng Yatimah” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008:46).
Keyakinan L.Krishnan me­­nyerahkan peranan utama kepada P.Ramlee tidak mengecewakan malah sam­butan pe­minat-peminat filem Melayu di luar dugaan. Nama P.Ramlee mula meniti di bibir peminatnya.
Menurut Ahmad Fauzee dalam buku P.Ramlee Irama Sanubari Episod 1 (2015), filem Bakti sebagai filem pertama P.Ramlee menjadi hero begitu istimewa kerana terdapat tujuh buah lagu menarik ciptaan Osman Ahmad, Antara lagu popular dalam filem ini ialah Satay, Merpati Dua Sejoli, Hidup Berdua, Hidup Melarat dan Taman Puspawarna.
“Seperti biasa, lagu-lagu ini menjadi popular kerana P.Ramlee menyanyikan ke­semua lagu ini yang mendapat sentuhan lirik S. Sudarmaji” (Ahmad Fauzee 2015: 106).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/sejarah-utusan/filem-bakti-serlah-bakat-p-ramlee-1.835641#ixzz5gH1dfIJ7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis pelik tindakan pelancong Finland



ROMPIN 2 Feb. - Tindakan pelancong Finland yang hilang di Pulau Tioman sejak 22 Januari lalu mengelak daripada dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika berada di pulau peranginan berkenaan menimbulkan tanda tanya dan polis kini menyiasat motif sebenar lelaki tersebut berbuat demikian.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kali terakhir imej Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20, dirakam CCTV ialah antara pukul 7 pagi dan 8.30 pagi pada 22 Januari lalu ketika dia mela­lui sebuah kawasan penginapan.
“Ketika melalui sebuah resort di Kampung Paya, mang­sa yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dilihat cuba menutup CCTV dengan tangannya selepas melalui kawasan itu.
“Polis masih menyiasat punca tindakan itu dan kita juga te­lah menyoal siasat beberapa individu yang berhubung dengan mangsa sebelum dilaporkan hilang bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Pulau Tioman, di sini hari ini.
Menurut Azli, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak 26 Januari lalu masih diteruskan, namun bila­ngan anggota yang terlibat telah dikurangkan selepas tiada petunjuk baharu selain mengambil masa yang agak lama.
Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Arifin Kamar berkata antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pasukan SAR sepanjang operasi ialah bentuk muka bumi yang berbukit bukau.
“Operasi telah mencakupi kawasan seluas 10 kilometer persegi dari kawasan mangsa dilihat kali terakhir di Kampung Paya, termasuk kawasan hutan, bukit, pantai dan paya Kampung Tekek, hingga kawasan santuari penyu.
“Ada satu ketika tiga ekor anjing pengesan yang digunakan dalam operasi ini berjaya mengesan bau mangsa di Kampung Bunut, namun kemudian hanya berpusing-pusing di kawasan yang sama,” katanya.
Valtteri tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.
Operasi pencarian telah dilakukan sejak 26 Januari lalu oleh 68 anggota dan pegawai JBPM, polis, Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu tiga ekor anjing pengesan. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/polis-pelik-tindakan-pelancong-finland-1.834540#ixzz5gGzwmZFU
© Utusan Melayu (M) Bhd