KUALA LUMPUR: Novelis popular mampu meraih hasil royalti buku sehingga suku juta ringgit setahun tetapi pengarang sastera ternama hanya memperoleh tidak sampai RM50,000 bagi tempoh sama.
Ini menjadikan seolah-olah pengarang sastera sebagai profesion seni yang paling ‘miskin’ hingga mereka tidak boleh bergantung kepada royalti karya sastera semata-mata.
Bagi genre novel popular, Fauziah Ashari yang terkenal dengan novel Ombak Rindu yang diadaptasi ke layar perak pada 2005, beliau mampu meraih RM381,000 setahun hasil royalti buku.
Fauziah berkata, beliau nekad menjadi pengarang sepenuh masa dengan harapan dapat memberi manfaat kepada pembaca dan bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Menjadi penulis sepenuh masa perlu bersungguh-sungguh dan perlu mengetahui cara merancang royalti yang diperoleh.
“Niat juga harus betul, iaitu menulis untuk kebaikan masyarakat selebihnya adalah seimbangkan dengan apa yang masyarakat ingin baca dan apa yang mahu kita sampaikan sebagai penulis,” katanya.
Fauziah berkata, hingga kini beliau menulis 11 novel dan pernah menerima royalti sebanyak RM80,000 pada peringkat awal pembabitannya dalam dunia penulisan sebelum jumlah itu meningkat kepada antara RM200,000 hingga RM381,00 setahun.
Katanya, antara novel yang mendapat sambutan ialah Kan Kukejar Cinta Kamu dan Cinta Tiada Akhirnya.
“Saya sebenarnya sudah mula menulis pada 2001 tetapi hanya pada 2005 saya menjadikannya profesion sepenuh masa.
“Menjelang 2013, saya mula menerbitkan karya orang lain menerusi syarikat sendiri.
“Saya melakukannya untuk mencari cabaran baharu dalam hidup dan agak lama juga tidak menulis sebelum kembali dengan Dia Perempuanku yang diterbitkan sendiri pada Jun tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Fauziah mengakui penulis sepenuh masa berdepan dengan banyak cabaran termasuk pasaran novel semasa semakin merosot.
Profesion sepenuh masa
“Semua genre novel terkena tempiasnya hingga untuk mengulang cetak satu judul agak payah tetapi masih ada novel mampu diulang cetak ke cetakan keenam,” katanya.
“Dalam kegawatan ekonomi buku ketika ini jumlah royalti diterima juga semakin merosot kerana dahulu ada kedai buku memesan antara 10,000 hingga 15,000 naskhah cetakan pertama tetapi ia merosot hingga 4,000 naskhah sahaja,” katanya.
Beliau berkata, penulis antara yang paling teruk terkena tempias itu. Justeru kebanyakan penulis hari ini lebih selesa menerbitkan karya sendiri, selain perlu gigih memperkenalkan karya sendiri.
Sekiranya novelis popular yang pernah memperoleh royalti secara keseluruhan hingga suku juta ringgit boleh mengeluh mengenai kemerosotan yang menimpa industri buku, pengarang sastera menerima kesan yang lebih teruk lagi.
Royalti tak lumayan
Pengarang sastera sepenuh masa, Salina Ibrahim, berkata mereka perlu bijak mencari peluang kerana royalti buku sastera tidak langsung lumayan.
“Secara purata, saya menerima RM40,000 setahun tetapi itu pun bukan sepenuhnya duit royalti, sebaliknya hasil kerja penyuntingan dan perolehan karya,” katanya.
Bagaimanapun, Salina berkata, meskipun menyedari pulangan dalam sastera tidak sehebat karya popular, beliau nekad menjadi penulis sepenuh masa atas dasar minat dan kepuasan.
“Mengharapkan royalti buku saja tidak boleh hidup hingga saya perlu terbabit dengan aktiviti penulisan lain seperti editor sambilan dan pembimbing bengkel penulisan.
“Gaji bulanan dahulu lebih lumayan berbanding pendapatan kini tetapi kepuasan yang lebih utama,” katanya.
Sementara itu, bekas peguam yang kini menjadi pengarang sastera sepenuh masa, Nisah Haron, mengakui penulis karya sastera susah untuk hidup jika mengharapkan bayaran royalti yang rendah dan dibayar setahun sekali.
“Bukan semua genre mampu terjual dengan baik dan kalau ada pun, ia mempunyai tempoh jualan tertentu hingga hanya seorang dua sahaja novelis yang karyanya masih lagi tahan zaman.
“Penulis yang mahu hidup hanya dengan honorarium dan royalti perlu mempelbagaikan genre penulisannya dan sebaik-baiknya, menguasai sebanyak-banyak genre penulisan,” katanya.
Nisah berkata, untuk menjadi penulis sastera sepenuh masa juga perlu lebih pelbagai misalnya berusaha memindahkan kandungan kepada pelbagai medium.
Bagi Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said, perbandingan antara pengarang sastera dan bukan sastera terutama genre popular tidak adil kerana nilai kepuasan sangat subjektif.
“Saya tidak bercakap bagi pihak orang lain kerana kalau untuk saya, apa yang ada sudah baik. Saya tidak ada peraturan dan kebetulannya gaya hidup saya bukanlah mewah,” katanya.
Persiap diri secara mental, fizikal
A Samad berkata, orang yang mahu menjadi penulis sepenuh masa perlu mempersiapkan diri secara fizikal dan mental termasuk mempunyai wang simpanan mencukupi.
“Dunia tiada simpati, jadi sebelum memilih menjadi pengarang sepenuh masa kita perlu memikirkan yang terbaik.
“Misalnya saya sudah tulis lebih 80 buku tetapi tidak semuanya boleh menjamin kehidupan. Dua judul yang menghidupkan saya ialah Hujan Pagi dan Rindu Ibu, selain beberapa karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi royalti tidaklah mewah,” katanya.
Tegas A Samad, pengarang generasinya dengan masa kini mempunyai cara berlainan dalam menangani pembaca dan pasarannya.
“Jika saya lebih selesa menulis apa sahaja yang difikirkan tetapi pengarang generasi muda mungkin menulis untuk pasaran.
“Ada pengarang generasi baharu membina pengikut sendiri dan menjual buku dalam kalangan kelompok itu.
“Bagaimanapun tidak boleh juga menyebut menjadi penulis sastera itu miskin, ia lebih kepada diri sendiri dan bagaimana gaya hidup kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd